Aizat Sharif

Kangar: Sepasang suami isteri etnik Rohingya diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis selepas terbabit dalam pemalsuan surat pertimbangan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang berselindung di sebalik madrasah pengajian al-Quran.

Mereka dipercayai berselindung di sebalik madrasah pengajian al-Quran, ditahan di Simpang Empat, di sini semalam.

Pengarah Imigresen Perlis, Khairul Amin Talib berkata, serbuan dilakukan di Kampung Permatang Pauh, Simpang Empat sekitar jam 10 pagi oleh 36 pegawai Imigresen negeri itu menerusi 'Ops Serkap' selepas menerima aduan awam.

"Serbuan dilakukan terhadap tujuh buah rumah yang disewa oleh komuniti Rohingya negeri ini di kawasan itu di mana hasil pemeriksaan kita mendapati salah satu premis ini dijadikan madrasah untuk mengajar al-Quran kepada kanak-kanak etnik itu.

"Pemeriksaan selanjutnya menjumpai alatan komputer riba di mana di dalamnya terdapat 200 dokumen format PDF berhubung permohonan surat dalam proses pertimbangan UNHCR yang dipercayai palsu dipohon oleh warga Myanmar dari etnik itu yang tinggal dari pelbagai negeri dalam negara ini.

"Kita percaya suspek yang berkhidmat sebagai guru pengajar al-Quran berusia 30 tahun dan isterinya yang berusia 24 tahun ini mendalangi kegiatan ini sejak sekian lama," katanya kepada media di Pejabat JIM Negeri Perlis di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Perlis, di sini hari ini.

 Khairul (tengah) menunjukkan surar palsu UNHCR yang dirampas di sebuah madrasah di Kangar.FOTO AIZAT SHARIF
Khairul (tengah) menunjukkan surar palsu UNHCR yang dirampas di sebuah madrasah di Kangar.FOTO AIZAT SHARIF

Katanya, dalam serbuan itu juga pihaknya turut menemui sijil pernikahan palsu yang digunakan oleh etnik berkenaan dipercayai turut dikeluarkan oleh sindiket berkenaan.

"Berdasarkan siasatan awal kita, suspek akan menerima permohonan surat itu menerusi aplikasi media sosial atau pemohon sendiri yang hadir menemui suspek di mana setiap permohonan dikenakan bayaran sebanyak RM50.

"Apabila surat itu siap, ia akan dimuat naik dalam bentuk PDF menerusi aplikasi WhatsApp atau lain aplikasi sebelum dicetak oleh pemohon sendiri.

"Semakan dalam komputer riba suspek mendapati terdapat 200 permohonan daripada warga Myanmar daripada etnik itu," katanya.

Khairul Amin berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas dua komputer riba dan telefon bimbit dan sebuah tablet jenama Samsung.

"Selain itu, kita turut merampas sebuah pemacu 'pendrive', dua unit kad SD, dua set kad perniagaan, dua buku log atau rekod untuk pelajar dan bayaran proses UNHCR, wang tunai berjumlah RM5,300 serta beberapa sijil cetakan surat dalam pertimbangan UNHCR dan sijil nikah Rohingya Malaysia.

"Bagi pengeluaran sijil nikah kahwin etnik itu, kita percaya suspek juga bertindak sebagai kadi atau jurunikah etnik itu berdasarkan penemuan khutbah nikah dalam simpanan mereka," katanya.

Kedua-dua suspek direman selama 14 hari bermula semalam bagi siasatan mengikut Seksyen 56 (1A) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 11:07 AM