Tuan Asri Tuan Hussein

Niger: Mereka melompat, menjerit dan berpeluk kegembiraan sebaik saja sampul berwarna biru dibuka kerana di dalamnya mengandungi 'duit raya' CFA$2,000, bersamaan RM12.

Mereka gembira bukan kepalang kerana seumur hidup mereka itulah kali pertama mendapat duit raya dan itu juga kali pertama diberi wang tunai sebanyak itu.

Adegan spontan, tapi penuh emosi berlaku ketika tujuh sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) mengadakan sambutan pasca Aidiladha bersama penduduk di Bassora, pinggir bandar Niamey, ibu negara Niger, Afrika.

Ketua misi yang juga Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail berkata, ia antara kenangan sukar dilupakan pihaknya sepanjang program ibadah korban dan akikah sumbangan rakyat Malaysia di dua negara berjiran, Nigeria dan Niger pada 7 hingga 19 Julai lalu.

"Dalam melakukan kerja kebajikan, tiada yang lebih indah daripada melihat wajah riang dan gembira orang yang kita bantu.

"Melihat kanak-kanak seramai lebih 50 itu melompat, menjerit-jerit dan berpeluk kegembiraan apabila diberi duit raya, MasyaAllah, hanya Tuhan yang tahu perasaan kami. Jika mereka gembira, pastinya kami lebih gembira," katanya.

Mohd Johari berkata, tidak seperti di Malaysia pemberian duit raya bukan kebiasaan atau adat dalam sambutan Aidiladha atau Aidilfitri di Niger.

Niger adalah negara di barat Afrika dengan jumlah penduduknya seramai 22 juta dan 98 peratus daripadanya beragama Islam. Ia negara bekas tanah jajahan Perancis yang mencapai kemerdekaan pada 1960.

Biarpun sudah 62 tahun merdeka, negara itu masih ketinggalan daripada segi kemudahan infrastruktur dan ekonomi. Rangkaian jalan raya banyak tidak berturap, selain bekalan elektrik dan air amat terbatas.

Kadar buta huruf tinggi dan dikatakan mencapai sehingga lebih 60 peratus daripada keseluruhan populasi menyebabkan purata pendapatan isi rumah penduduk Niger sekadar antara RM500 atau RM600 sebulan.

Mohd Johari berkata, atas dasar ukhuwah di antara sesama umat Islam, MCM buat kali pertama melakukan program akikah di negara itu, selepas terlebih dulu menyempurnakan ibadah korban di Nigeria.

"Keseluruhan MCM menyempurnakan amanah ibadah korban di 17 negara termasuk Malaysia. Selain, Nigeria dan Niger di benua Afrika, ibadah sama turut diadakan di Palestin, Syria, Yaman, Kemboja, India dan lain-lain," katanya.

Menurutnya, di Nigeria sukarelawan MCM menyempurnakan ibadah korban diamanahkan rakyat Malaysia membabitkan 86 lembu dan 468 kambing yang keseluruhannya bernilai hampir RM325,000.

Jumlah itu disumbangkan organisasi berkolaborasi bersama MCM iaitu Pertubuhan Kebajikan Al-Mannar Malaysia, Pertubuhan Jariah Qaseh, Kompleks Tahfiz Al-Quran Al-Qaradhawi, Temerloh, Pahang, Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Selangor dan Pertubuhan Kebajikan Ilmu dan Amal Selangor (Geng Talaqqi).

Kata Mohd Johari, disebabkan masalah birokrasi dia dan enam lagi peserta misi tidak berkesempatan ke lokasi dan menyempurnakan sendiri penyembelihan korban di Nigeria.

"Tanggungjawab itu kami serah kepada wakil MCM di Lagos, Ustaz Ibraheem Aminulah dan alhamdulillah segalanya dapat disempurnakan," katanya.

Menurutnya, di Niger pula, pihaknya menyempurnakan akikah membabitkan penyembelihan empat lembu dan 46 kambing, keseluruhan bernilai RM25,000 yang dagingnya diagih kepada penduduk di kampung di Bassora, Niamey dan Guesse Beri, Dosso.

KANAK-KANAK di Kampung Guesse Beri memegang potongan daging kambing yang baru diterima selepas disembelih.
KANAK-KANAK di Kampung Guesse Beri memegang potongan daging kambing yang baru diterima selepas disembelih.

Mohd Johari berkata, amat menginsafkan ketika melihat ratusan penduduk kampung di Guesse Beri menunggu dengan sabar giliran masing-masing untuk menerima potongan daging lembu atau kambing disembelih.

"Keadaan mereka daif. Daging dipotong diberi begitu saja kepada penduduk tanpa dimasukkan ke dalam bekas atau beg plastik," katanya.

Menurutnya, satu lagi pengalaman menarik dilalui pihaknya ialah ketika menghabiskan masa hampir separuh hari di Turakou (pasar haiwan) Darussalam untuk urusan membeli lembu dan kambing.

"Ada ribuan kambing, lembu dan unta di pasar itu. Menariknya, kawasan pasar luasnya lebih tiga hektar itu seolah-olah menjadi pusat serenti untuk segala aktiviti.

"Malah, di situ pemilik haiwan dan pengunjung makan, tidur, berehat dan menunaikan solat dalam keadaan ala kadar," kata Mohd Johari sambil mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana terus menyumbang kepada MCM untuk membolehkan NGO itu melakukan pelbagai aktiviti kebajikan di dalam dan luar negara.

'Negara saya ini serba kekurangan'

"Kehadiran sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) ke kampung saya, seolah-olah mimpi menjadi kenyataan," kata Dr Mokhtar Moussa yang menjadi 'tuan rumah' kepada rombongan sukarelawan MCM di Niger.

Beliau yang juga pengasas syarikat kutipan zakat di Niger, Awqaf Bait Zakat adalah lulusan doktor falsafah dalam bidang kewangan Islam di Universiti Malaya (UM) dan pernah menetap di Malaysia selama tujuh tahun.

Dr Mokhtar, 39, berkata, beliau terharu dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia dan MCM kerana memilih Niger sebagai destinasi melaksanakan korban dan akikah pada tahun ini.

"Mohon maaf jika anda tidak selesa. Negara saya ini serba kekurangan, bukan seperti di Malaysia," katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Syariah di Universiti Al-Azahar, Mesir dan pernah berkhidmat sebagai penyelidik di Jerman.

DR Mokhtar (kiri) bersama Mohd Johari.
DR Mokhtar (kiri) bersama Mohd Johari.

Menurutnya, apabila datang sendiri ke Niger, pastinya sukarelawan MCM lebih mengenali negara itu yang kurang popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Ramai orang Malaysia lebih kenal Nigeria tapi tak tahu kewujudan Niger. Sedangkan saiz Niger lebih besar dan negara kami lebih ramai umat Islam," katanya.

Menurut Dr Mokhtar, apa yang menjadi keutamaan pihaknya sekarang ialah meletakkan perkara berkaitan Islam di peringkat formal dan lebih sistematik.

"Subjek berkaitan Islam tidak diajar di sekolah rendah, menengah apa lagi di universiti. Agensi kerajaan berkaitan Islam juga tiada. Sebab itulah saya tidak ada kerja biarpun ada kelulusan tinggi" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 8:01 AM
MOHD Johari mengagihkan sampul mengandungi duit raya di Kampung Bassora, Niger.
MOHD Johari mengagihkan sampul mengandungi duit raya di Kampung Bassora, Niger.