Mohd Firdaus Ibrahim


KUALA LUMPUR: Tangisan kegembiraan penerima agihan daging korban dan titipan rasa syukur diiring doa buat seluruh rakyat Malaysia menjadi pembakar semangat bagi EZ Qurban Sdn Bhd meneruskan penganjuran program berkenaan tahun ini.

Sejak ditubuhkan pada April 2007, EZ Qurban sudah menerjah ke 34 negara di dunia membabitkan negara bergolak, minoriti Islam dan menempatkan pelarian dalam melaksanakan amanah dipertanggungjawabkan rakyat Malaysia kepada mereka.

Untuk rekod, negara pelaksanaan ibadah korban termasuk Kemboja, Bangladesh, Vietnam, Indonesia, Laos, Thailand, India, Myanmar, Chad, Ivory Coast, Kenya, Malawi, Mali, Morocco, Palestin, Filipina, Arab Saudi, Somalia, Sri Lanka, Tanzania, Uzbekistan, Congo, Burkina Faso, Rwanda, Burundi, Nigeria, Ethiopia, Pakistan, Somaliland, Sudan, Yaman, Kyrgyzstan, Nepal dan Ghana.

Pengarah Pemasaran EZ Qurban Sdn Bhd Ahmad Fadzlullah Hasanuddin berkata, pengalaman EZ Qurban lebih 11 tahun dalam melakukan ibadah korban dan akikah di negara terpilih sudah mematangkan syarikat dalam memastikan setiap amanah diberikan rakyat Malaysia disampaikan secara langsung kepada penerima.

"Petugas EZ Qurban akan diterbangkan ke negara terpilih untuk menyaksikan sendiri proses penyembelihan dan agihan dilakukan. Ini bukan kerja mudah atau main-main sebaliknya ia tanggungjawab berat yang kita pikul setiap kali program berlangsung.

"Biarpun ada wakil EZ Qurban di setiap negara terpilih itu, petugas dari Malaysia juga dihantar bagi memantau pelaksanaan berkenaan. Kita serius dan komited dengan amanah dan tanggungjawab ini," katanya.

Katanya, sejak 2007 hingga tahun lalu, sebanyak 33, 862 lembu dan 8,423 kambing diagihkan di negara terpilih berkenaan.

"Bagi program korban pada tahun ini, rekod kita sehingga Julai mendapati sebanyak 12,388 peserta sudah berdaftar membabitkan 3,000 lembu dan 700 kambing akan diagihkan ke negara terpilih," katanya.

Menurut Ahmad, sehingga kini EZ Qurban sudah sampai ke 34 negara dan pihaknya mengakui akan mengembangkan program korban ke beberapa negara lain yang memerlukan pada masa depan.

"Itu memang ada dalam perancangan kita, Insya-Allah. Pemilihan negara adalah membabitkan negara miskin, bergolak, minoriti Muslim," katanya menjelaskan, komitmen mereka dalam melaksanakan ibadah korban itu juga diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) pada 2016 dan 2017.

Menjawab soalan wartawan, Ahmad berkata, biarpun diakui mengalami kesukaran dalam melakukan korban di negara bergolak itu disebabkan jarak yang jauh, perbezaan budaya dan bahasa termasuk keselamatan namun ia berbaloi apabila dapat menyaksikan sendiri daging korban rakyat Malaysia sampai ke tangan penerima.

"Mana tidaknya, senyuman, deraian air mata pelarian yang menerima sumbangan menghilangkan semua keletihan kami. Malah, mereka tidak putus menitipkan kesyukuran dan doa bukan saja kepada penyumbang sebaliknya kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Katanya, dia menyeru rakyat Malaysia yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban.

"Mereka yang mahu mendaftar boleh melayari laman web www.ezqurban.org atau sebarang pertanyaan boleh dilakukan di talian 0361861911 dan 013238600. Petugas kami sedia melayani anda," katanya.

Tambahnya, program berkenaan akan dibuka sehingga hari ini yang mana harga satu bahagian lembu hanyalah RM290.

"Marilah bersama-sama membantu saudara muslim kita yang memerlukan. Moga Allah merahmati dan membalas jasa baik anda semua," katanya.

'Terima kasih rakyat Malaysia atas sokongan, kepercayaan'

KUALA LUMPUR: "Terima kasih rakyat Malaysia atas sokongan dan kepercayaan kepada kami bagi menguruskan ibadah korban anda," kata Pengarah Pemasaran EZ Qurban Sdn Bhd Ahmad Fadzlullah Hasanuddin.

Menurutnya, penghargaan itu ditujukan kepada 139,350 rakyat Malaysia yang sudah melakukan pendaftaran dengan EZ Qurban sejak tahun 2007.

"Tanpa sokongan anda siapalah kami. Terima kasih! Terima kasih! Terima kasih," katanya.

Ahmad berkata, sehingga Julai, sebanyak 3,000 lembu dan 700 kambing sudah didaftarkan untuk program korban pada tahun ini.

"Manakala, bagi tempoh sama untuk program akikah pula sebanyak 4,529 kambing sudah didaftarkan rakyat Malaysia untuk diagihkan kepada mereka yang sangat memerlukan di negara terpilih," katanya.

Katanya, sokongan rakyat Malaysia terhadap program korban dan akikah sejak EZ Qurban ditubuhkah amat menggalakkan.

"Ini dibuktikan dengan peningkatan penyertaan yang direkodkan setiap tahun. Peningkatan ini juga jelas menunjukkan keperihatinan rakyat Malaysia dalam membantu saudara seagama yang amat memerlukan di negara bergolak mahupun mereka yang bergelar pelarian. Seperti kebiasaannya, kita akan pastikan amanah diberikan rakyat Malaysia disampaikan terus kepada penerima.

"Moga Allah merekodkan amal kebaikan buat rakyat Malaysia yang melaksanakan korban dan akikah itu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad menyeru rakyat Malaysia yang berkemampuan untuk melakukan ibadah korban pada tahun ini.

"Ini adalah panggilan terakhir dari kami buat rakyat Malaysia yang mahu melaksanakan ibadah korban. Penyertaan akan dibuka sehingga 12 Ogos iaitu hari raya kedua.

"Satu bahagian korban yang kita tawarkan hanya sebanyak RM290. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi kami di talian 0361861911, WhatsApp 0133186984 atau melayari laman web www.ezqurban.org. Anda juga boleh melayari Facebook dan Instagram Ez Qurban Sdn Bhd," katanya.

Katanya, setiap peserta akan dimaklumkan mengenai perkembangan ibadah korban yang dilakukan mereka di media sosial EZ Qurban Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 6:00 AM