Dr Rahmat Abdullah dan Zulkifli masih meneruskan usaha melakukan ibadah korban di luar negara atas permintaan rakyat Malaysia tahun ini.
Dr Rahmat Abdullah dan Zulkifli masih meneruskan usaha melakukan ibadah korban di luar negara atas permintaan rakyat Malaysia tahun ini.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammad Saufi Hassan

"SAYA tidak 'menang tangan' memenuhi hajat ramai umat Islam tempatan yang mahu melaksanakan ibadah korban di luar negara. Setakat ini, sudah 200 ekor lembu ditempah dan bakal dikorbankan esok selain 90 ekor kambing," ujar pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Rahmat Abdullah.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengerjakan ibadah itu di Malaysia susulan pandemik Covid-19 menyebabkan ramai mencari alternatif melakukan ibadah korban di luar negara.

"Semua lembu dibeli menggunakan wang rakyat Malaysia ini akan dikorbankan di beberapa negara antaranya Tanzania, Sri Lanka, Kemboja, India, pelarian Rohingya di kem Cox's Bazar, Bangladesh dan Madagascar.

"Tugas dan amanah ini dipermudahkan dengan bantuan bekas penuntut UIA yang berada di negara berkenaan. Mereka sanggup membantu dalam urusan membeli lembu, mendapatkan kelulusan permit dan memastikan ibadah korban itu dilaksanakan di lokasi ditetapkan.

"Paling utama, daging korban itu diagihkan kepada golongan daif serta mereka yang benar-benar layak menerimanya," katanya.

Beliau berkata, faktor harga lembu lebih murah di luar negara turut menyumbang kepada peningkatan bilangan individu yang mahu melakukan ibadah itu di luar negara.

"Sebagai contoh, seekor lembu di India berharga sekitar RM1,400 hingga RM2,200. Maka setiap individu yang mahu menyertai korban hanya perlu membayar sekitar RM260 hingga RM310 bagi satu bahagian berbanding lebih RM600 di sini (Malaysia).

"Begitu juga harga seekor lembu lembu Zulu di Afrika dijual hanya sekitar RM1,900 seekor," katanya yang aktif menguruskan ibadah itu sejak lebih lima tahun lalu.

Menurutnya, kekangan akibat Covid-19 bukanlah halangan untuk umat Islam di Malaysia mengejar pahala pada Aidiladha ini.

"Walaupun haiwan dikorbankan berada jauh beribu kilometer namun saya akan memastikan amanah ini dilakukan dengan sempurna. Nama peserta dan gambar lembu dikorbankan akan dihantar melalui WhatsApp sebagai bukti," katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Aqiqahcentre.com, Abdullah Mubarak berkata, ibadah korban di luar negara masih diteruskan seperti biasa pada tahun ini walaupun berdepan situasi penularan pandemik Covid-19.

"Memandangkan situasi penularan wabak terkini, kami menggunakan khidmat rakan strategik kami di negara tertentu untuk melaksanakan ibadah korban seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Bagi Aqiqahcentre.com, perkara paling penting bukanlah memperbanyakkan lokasi ibadah korban di luar negara sebaliknya lebih menjurus kepada pelaksanaan yang mengikut garis panduan disediakan.

"Alhamdulillah tahun ini masih mampu untuk melaksanakan ibadah korban di Makkah sama seperti tahun sebelumnya. Cuma tahun ini kami tidak dapat menghantar wakil ke sana kerana situasi Covid-19," katanya.

Menurutnya, selain ibadah korban di Makkah, pihaknya turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan ibadah berkenaan di dalam negara.

Sementara itu Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, kesedaran terhadap kepentingan ibadah korban serta kesusahan umat Islam serata dunia menyebabkan semakin ramai umat Islam tempatan melakukan ibadah itu di luar negara.

Menurutnya, sehingga hari ini seramai 2,000 umat Islam tempatan sudah menyerahkan wang bagi menyempurnakan ibadah itu.

"Ia membabitkan ibadah korban di lebih 20 negara antaranya Chad, Nigeria, Eriteria dan Tanzania di Afrika, Syria, Turki, Polland, Palestin, Kemboja, Nepal dan beberapa negara lain.

"Kami menggunakan khidmat ahli MCM di seluruh dunia bagi memastikan ibadah korban ini dilakukan mengikut syariat. Alhamdulillah, pandemik Covid-19 bukan halangan untuk meneruskan usaha mencari pahala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 9:44 PM