ANTARA lembu yang diagihkan untuk ibadah korban di Kampung Preythnong.
ANTARA lembu yang diagihkan untuk ibadah korban di Kampung Preythnong.
SEORANG penduduk Kampung Preythnong cuba menumbangkan lembu untuk disembelih.
SEORANG penduduk Kampung Preythnong cuba menumbangkan lembu untuk disembelih.

Kampot, Kemboja: Bertepatan dengan peranannya sebagai bank koperasi Islam, Bank Rakyat menyumbang 115 lembu dan 49 kambing bagi ibadah korban di tiga lokasi di wilayah ini.

Naib Presiden Pematuhan Syariah Mohd Zamerey Abdul Razak berkata, program itu yang dianjurkan buat kali kedua berturut-turut itu dilaksanakan dengan kerjasama Surau Al-Barakah dan Akademi Imam Syafie.

“Kami mengagihkan 115 lembu dan 49 kambing di tiga lokasi iaitu Kampung Trey Koh, Kampung Preythnong dan Kampung Keh untuk diagihkan di 36 perkampungan Islam di wilayah Kampot, Kemboja.

“Pengagihan itu termasuk ibadah akikah, selain 15 lembu turut disumbangkan Bank Rakyat bagi ibadah korban di Bangladesh,” katanya pada Program Kemanusiaan Kemboja 2016, semalam.

Mohd Zamerey berkata, pihaknya komited dalam usaha membantu golongan memerlukan termasuk masyarakat Muslim dari negara jiran seperti Kemboja dalam sambutan Aidiladha.

“Bank Rakyat prihatin terhadap masyarakat Muslim dari negara jiran yang kurang bernasib baik dengan memberikan sumbangan dalam bentuk keperluan bagi sambutan Hari Raya Qurban seperti membekalkan lembu dan kambing kepada mereka.

“Ini adalah cara terbaik untuk kami berkongsi nikmat yang diberikan kepada golongan memerlukan bukan saja di dalam negara, malah merangkumi masyarakat Muslim dari negara luar.

“Justeru, kami berharap program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) sebagai usaha membantu golongan memerlukan dalam kalangan masyarakat Muslim di negara jiran,” katanya.

Dalam program yang dianjurkan selama tiga hari bermula 13 hingga 16 September itu, Bank Rakyat turut menyumbang beras kepada 148 keluarga di Kampung Trey Koh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 9:38 AM