Najiy Jefri


Selepas hampir empat tahun menanti peluang untuk dikenali dalam bidang lakonan, pendatang baru, Silfeny Osman kini mampu menarik nafas lega apabila kehadirannya semakin diterima ramai.

Sejak membintangi drama Kerana Aku Isteri Bidaan ditayangkan di TV3, Silfeny yang memegang watak Miara berkata, dia bersyukur apabila drama terbabit melonjakkan namanya.

"Drama ini adalah produk yang menaikkan nama Silfeny Osman. Terima kasih kepada pihak produksi dan stesen TV di atas kepercayaan dan peluang ini.

"Tidak dinafikan mungkin cabaran membawakan watak Miara dalam Kerana Aku Isteri Bidaan membantu penonton kenal kehadiran saya dalam industri seni.

"Malah pengalaman saya berlakon dengan pelakon senior dan terkenal adalah sesuatu yang tak boleh dilupakan. Saya diterima baik di set penggambaran. Mereka juga tak lokek ilmu bila saya tanya," katanya.

Pengalaman berlakon di samping nama-nama besar dalam industri seni tidak membuatkan dirinya terasa asing atau dipandang sepi oleh pelakon-pelakon senior atau syarikat produksi.

EMPAT tahun berada dalam industri seni tidak membuatkan Silfeny patah semangat untuk membina nama.
EMPAT tahun berada dalam industri seni tidak membuatkan Silfeny patah semangat untuk membina nama.

"Alhamdulillah setakat ini saya tak pernah rasa diketepikan walaupun saya masih baru. Banyak kata-kata semangat dari mereka yang membuatkan saya terus bersemangat untuk teruskan kerjaya ini walaupun saya tahu bukan senang," katanya.

Menyedari pembabitannya dalam bidang seni tidak meluncur dengan mudah, Silfeny tidak pernah menyerah kalah untuk memastikan kehadirannya diterima ramai.

Kata Silfeny, setiap cabaran yang dilalui untuk membina nama adalah momen yang tidak akan dilupakan.

"Walaupun susah untuk menapak dalam industri seni saya tetap bersyukur dengan apa yang diberikan untuk saya.

MENJADIKAN Nad Zainal sebagai idola.
MENJADIKAN Nad Zainal sebagai idola.

"Saya anggap ini cabaran yang saya kena lalui untuk berjaya dalam bidang ini. Saya yakin usaha saya ini akan membuahkan hasil apabila sampai pada waktu yang tepat.

"Saya juga akan buktikan yang saya mampu berikan yang terbaik dalam setiap peluang yang diberikan.

"Saya harus berterima kasih kepada semua yang menyokong saya dan percaya dengan kebolehan untuk melakonkan sesuatu watak. Saya amat hargai," katanya.

SYUKUR kehadirannya dalam drama Kerana Aku Isteri Bidaan semakin dikenali ramai.
SYUKUR kehadirannya dalam drama Kerana Aku Isteri Bidaan semakin dikenali ramai.

Target

Ditanya mengenai target yang ingin dicapai dalam kerjaya lakonan, Silfeny mengakui mahu mencuba pelbagai karakter yang mencabar pada masa mendatang.

"Target saya dalam bidang ini untuk mendapat lebih banyak peluang baharu. Saya tak kisah tak dapat jadi heroin drama atau filem pun, tapi untuk permulaan ini saya nak cabar diri untuk menjadi pelakon yang versatil. Ini bagi memastikan kehadiran saya terus kekal relevan.

"Sebenarnya saya juga teringin nak berlakon dalam filem aksi yang mana saya mahu melakonkan sendiri babak aksi itu," katanya.

Dalam pada itu, Silfeny mengakui meminati ramai pelakon tempatan yang sememangnya terbukti berbakat dan berjaya menghidupkan setiap karakter yang diberikan.

"Salah satunya ialah Nad Zainal. Kami pernah bekerjasama dua kali dalam drama. Saya jadikan dia idola saya sebab tahu cara dia bekerja dan saya rasa dia seorang pelakon yang rajin. Saya banyak belajar dan melihat cara dia berlakon tanpa dia sedar," katanya.

Dalam perkembangan lain, Silfeny kini sedang menjalani penggambaran drama untuk slot Akasia berjudul Kau Tak Punya Hati.

"Selain itu, saya juga terbabit dalam telefilem Mak Kiah Penanggal untuk siaran Astro. Sekarang ini drama yang sedang ditayangkan adalah Tarik Aku Ke Syurga dan Ada Apa Dengan Saka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 6:00 AM