Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada kadar RM9.40 sekilogram, bagi Semenanjung Malaysia.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, mesyuarat juga bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 45 sen sebiji bagi gred A, gred B (43 sen sebiji) dan gred C (41 sen sebiji) di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, penetapan harga siling bagi ayam standard dan telur ini berkuatkuasa bermula 1 Julai ini.

"Keputusan ini juga mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, melalui inisiatif bantuan tunai termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40.

"Seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2600 tahun ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bantuan ini adalah tertinggi yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.

"Dengan pelaksanaan subsidi ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari lalu.

"Isu kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia sahaja, sebaliknya ia adalah fenomena global berikutan gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dan perubahan iklim," katanya.

Namun katanya, kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 5:04 PM