Omar Ahmad


Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengekalkan harga siling bagi ayam dan telur sehingga selepas Raya.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, keputusan itu dibuat berikutan penggunaan bahan asas itu dalam kuantiti banyak pada Ramadan dan Syawal.

Katanya hasil libat urus pasukannya bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) juga memberi jaminan bekalan itu dijual pada harga siling yang ditetapkan.

"Setakat kita menghadapi bulan Ramadan dan Hari Raya, kerajaan tidak bercadang dahulu untuk mengangkat harga siling bagi kedua barang asas ini iaitu ayam dan telur.

"Kita telah putuskan dalam kabinet supaya semasa musim Ramadan dan Hari Raya dan juga selepas hari raya kerana Hari Raya ini istimewa bukan disambut dua hari tetapi sebulan," katanya.

Selain itu, Salahuddin berkata, pihaknya akan memantau harga barangan asas keperluan setiap hari sepanjang Ramadan ini supaya tidak berlakunya kenaikan harga.

"Kami akan mengadakan perbincangan libat urus sekali lagi dengan pemain industri selepas Syawal dan kabinet mesti diyakinkan jika mahu angkat harga siling ini ," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jualan Rahmah Pasaraya Hwa Tai di Pandan di sini, hari ini.

SALAHUDDIN (kiri) melihat Jualan Rahmah di Pasaraya Hwa Tai di Pandan. FOTO Omar Ahmad
SALAHUDDIN (kiri) melihat Jualan Rahmah di Pasaraya Hwa Tai di Pandan. FOTO Omar Ahmad

Sebelum ini kerajaan menetapkan, harga siling runcit semasa bagi ayam standard adalah RM9.40 sekilogram, manakala harga siling runcit telur bagi Gred A pada 45 sen sebiji, Gred B (43 sen sebiji) dan Gred C (41 sen sebiji) di Semenanjung, sementara di Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum kedua-dua makanan itu mengikut zon dan daerah.

Menurut Salahuddin, hasil pertemuan dengan pemain industri bagi barangan asas ini, mereka bersedia meningkatkan bekalan ayam dan telur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 5:26 PM