Gambar hiasan
Gambar hiasan
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju untuk menaikkan subsidi bagi telur ayam gred A, B dan C daripada tiga sen ketika ini kepada lapan sen.

Keputusan itu bermakna kerajaan perlu menanggung pertambahan subsidi telur ayam kepada lebih RM90 juta setiap bulan.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, jemaah Kabinet juga bersetuju untuk tidak menaikkan atau mengapung harga telur ayam di pasaran bagi mengelak peningkatan kos sara hidup rakyat.

Katanya, kedua-dua keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan rakyat serta beban peningkatan kos pengeluaran telur ayam yang ditanggung pengeluar dan pengedar.

"Alhamdulillah, Kabinet bersetuju supaya harga kawalan telur gred A,B,C tidak dinaikkan atau diapungkan demi menjaga keperluan rakyat.

"Bagaimanapun, Kabinet mengambil kira kos yang meningkat dan harga kawalan menyebabkan pengeluar kerugian dan terpaksa mengurangkan pengeluaran, sekali gus menyebabkan bekalan berkurangan.

"Bagi mengatasi masalah ini, Kabinet bersetuju menerima syor Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jawatankuasa Jihad Inflasi.

"Syor itu adalah supaya subsidi (telur ayam) sebanyak tiga sen pada masa ini dinaikkan kepada lapan sen. Ini membabitkan tanggungan subsidi oleh kerajaan lebih daripada RM90 juta sebulan," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Berita lanjut menyusul

Semalam, Annuar dilaporkan berkata, cadangan menaikkan subsidi telur ayam gred kawalan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet hari ini susulan kekurangan bekalan telur berkenaan di pasaran.

Pada 29 Jun lalu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, mengumumkan jemaah Menteri bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen sebiji bagi gred A, Gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji).

Selain ketetapan mengenai telur ayam, Annuar memaklumkan mesyuarat Kabinet hari ini turut bersetuju supaya dasar subsidi ayam bulat sedia ada diteruskan.

Pada Februari lalu, kerajaan mengumumkan pemberian subsidi 60 sen sekilogram kepada penternak ayam, manakala harga siling ayam standard ditetapkan pada harga RM9.40 sekilogram sejak 1 Julai lalu.

Menurut Annuar, mesyuarat Kabinet juga bersetuju untuk meningkatkan bekalan minyak masak bersubsidi satu kilogram, khususnya bagi rangkaian kedai di bawah program Jualan Murah Keluarga Malaysia.

"Kabinet bersetuju kuota tambahan sementara sebanyak 5,000 metrik tan sebulan diluluskan kepada KPDNHEP," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 2:52 PM