FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Harga ayam sepatutnya diapungkan untuk menyeimbangkan penawaran dan permintaan supaya semua pihak tidak terbeban.

Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor Idrus Zainal Abidin berkata, jika kerajaan tidak membuat pusingan U dengan mengapungkan harga ayam seperti keputusan asal, kemungkinan pengguna dapat menikmati harga lebih rendah dan mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pemain industri.

"Kalau harga ayam diapungkan, tidak semestinya kami pemain industri ini akan jual mahal paling maksimum pun mungkin RM10.50.

"Apabila kita bersaing secara sihat, secara tidak langsung akan dapat memberikan harga lebih rendah kerana permintaan banyak.

"Namun apabila harga ditetapkan RM9.40, ia akan menyusahkan pasaran dan sudah pasti memberi impak lain termasuk kenaikan harga makanan di luar," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, industri terbabit lebih terbuka berbanding produk lain seperti susu atau beras yang bekalannya boleh disimpan lama.

"Ayam dan telur kita tidak boleh simpan lama, paling lama pun macam ayam boleh simpan tiga minggu sahaja, selepas itu ayam sudah merah dan busuk.

"Macam telur pula, tidak menjadi isu terlalu besar berbanding ayam kerana kenaikannya pun hanya beberapa sen," katanya.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, mungkin impak penetapan harga siling ayam tidak terlalu besar namun kerajaan perlu memikirkan kaedah bersesuaian untuk memastikan golongan M40 tidak terbeban.

"Mungkin ada kesan dalam rantaian, tetapi tidak terlalu besar kerana pada masa sama, kerajaan sudah menyediakan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) untuk B40.

"Namun untuk golongan lain seperti M40 terutama yang tinggal di bandar walaupun bergaji antara RM5,000 sekalipun masih tidak mencukupi, jadi penetapan harga siling ini sudah pasti memberi kesan.

"Jadi, kerajaan perlu memikirkan kebajikan golongan ini juga," katanya.

Sementara itu, Profesor Madya di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Irwan Shah Zainal Abidin pula berpandangan, langkah penyelesaian menyeluruh perlu ada bagi mengatasi masalah kenaikan harga dan memastikan bekalan mencukupi.

"Kalau kita tengok sebelum ini ketika harga ayam ditetapkan kepada RM8.90 sekilogram, harga barangan makanan sudah pun naik dan bekalan tidak mencukupi.

"Sekarang apabila kerajaan menetapkan harga RM9.40, ada dua aspek iaitu pengguna terutama golongan B40 merasakan harga itu agak tinggi, tetapi bagi pengeluar pula, mereka kata harga ini tidak mahal kerana kos input ada yang kata melebihi RM10," katanya.

Menurutnya, penetapan harga siling ini akan memberi implikasi kepada semua rantaian lain termasuk pengguna.

Mulai hari ini, kerajaan menetapkan harga siling runcit ayam standard untuk Semenanjung pada RM9.40 sekilogram.

Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang kelmarin turut bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 45 sen sebiji bagi gred A, gred B (43 sen sebiji) dan gred C (41 sen sebiji).

Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga siling ayam pada RM8.90 sekilogram sebelum harga itu diputuskan akan diapungkan mulai hari ini.

Bagaimanapun kerajaan membatalkan rancangan itu dan memutuskan tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 7:05 AM