WAJAH Nur Husna Atirah berubah akibat alahan. FOTO ihsan Nur Husna Atirah Rosli
WAJAH Nur Husna Atirah berubah akibat alahan. FOTO ihsan Nur Husna Atirah Rosli
Redzuan Muharam

redzuan.muharam@hmetro. com.my

Gerik: "Sepanjang tempoh kehamilan, saya lebih banyak duduk di rumah berbanding keluar kerana malu berjumpa dengan orang disebabkan alahan pada wajah," kata Nur Husna Atirah Rosli.

Nur Husna Atirah, 25, memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi pengalaman dan kisah di sebaliknya perubahan wajahnya ketika hamil seperti yang dikongsikan di TikTok miliknya, baru-baru ini.

Perkongsian Nur Husna Atirah yang menetap di Kampung Tawai, di sini, mendapat pelbagai reaksi dengan rata-ratanya memahami kerana pernah melalui pengalaman sama selain menyifatkannya sebagai salah satu pengorbanan besar seorang ibu.

Bercerita lanjut, Nur Husna Atirah berkata, perubahan wajahnya itu adalah disebabkan alahan dan dia sedar ketika bulan ketiga hamil anak kedua, Shariq Eshan yang dilahirkan pada 27 Disember tahun lalu.

"Pada awalnya, muka saya elok saja namun masuk bulan ketiga jadi membengkak dan perubahan sangat ketara termasuk pada bahagian hidung.

"Ia berpunca akibat alahan dan sebenarnya, itu bukan kali pertama kerana saya pernah ada pengalaman sama ketika hamil anak sulung (Muhammad Syauqi Raid, tiga tahun).

"Saya ikhlas lalui alahan untuk anak kerana yang lebih utama adalah kesihatannya dalam kandungan saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, perubahan pada wajah menyebabkan ada rakan tidak mengenalinya ketika di luar sehingga dia datang menegur mereka.

"Penerimaan keluarga saya dan keluarga sebelah suami pula baik, mereka tiada masalah, syukur Alhamdulillah.

"Mungkin sebab itu (penerimaan keluarga) dan sokongan suami (Mohamad Shahrudin Mohamad Bekri, 28,) saya jadi kuat.

"Sebulan juga wajah saya membengkak selepas bersalin dan kembali normal apabila hampir habis pantang," katanya.

Dia berkata, tujuannya muat naik video di TikTok bukan untuk tular tetapi sekadar berkongsi pengalaman ketika hamil.

"Tak sangka pula ia akan raih perhatian dan dapat maklum balas sebegitu rupa.

"Diharap, video itu memberi mesej kepada golongan suami supaya tahu menghargai dan beri perhatian lebih supaya isteri jadi kuat serta tidak patah semangat," katanya yang kini mencari rezeki dengan menjual ayam goreng keju di tapak Sogo, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 4:53 PM