HANIF bersama Oyen. FOTO ihsan Muhammad Hanif Ismail
HANIF bersama Oyen. FOTO ihsan Muhammad Hanif Ismail
Redzuan Muharam


Putrajaya: "Saya sudah anggap Oyen macam anak bukan haiwan kerana terlalu sayangkannya jadi berat hati nak lepaskannya," luah Muhammad Hanif Ismail atau mesra disapa Hanif.

Perkongsian Hanif, 34, menyentuh hati warganet selepas memuat naik video dan curahan isi hatinya yang terpaksa melepaskan kucing peliharaannya diberi nama Oyen kepada mereka yang sudi.

Berkongsi kisahnya, Hanif berkata, berat untuknya memuat naik hantaran itu malah menangis kerana mengenangkan nasib Oyen selepas dijaga penjaga baru.

Bagaimanapun, dia terpaksa lakukannya selepas dinasihatkan doktor untuk tidak memelihara kucing kerana keadaan kesihatannya yang semakin serius berikutan alahan terhadap haiwan berkenaan.

"Saya baru sebulan pelihara Oyen selepas membelinya pada 27 Januari lalu dan umurnya kini sudah tiga bulan.

"Walaupun baru, saya sayang sangat dengan Oyen kerana Oyen kucing yang bijak sampai tidur pun dengannya dan jalan pun bersama.

"Boleh dikatakan, Oyen adalah penghibur hati saya sekeluarga di rumah.

"Tapi kelmarin, saya jumpa doktor dan dinasihatkan untuk elak pelihara kucing bagi mengelak alahan semakin teruk kerana hidung sudah membengkak hasil pemeriksaan endoskopi," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Hanif berkata, ramai yang menghantar komen dan kiriman mesej kepadanya selepas memuat naik hantaran di TikTok .

Katanya, ada yang berminat mengambil Oyen tetapi lebih ramai menasihatkannya untuk tidak melepaskan Oyen atau memberikan kepada keluarga terdekat saja kerana memahami perasaannya.

"Sepanjang hari saya menangis sebenarnya selepas buat hantaran itu dan tak sangka apabila ia dapat perhatian ramai hingga terima hampir 300 kiriman mesej dan 2,000 komen sampai tak sempat membalasnya.

"Ada nasihatkan saya terus jaga kerana Oyen akan doakan saya dan kata-kata itu membuatkan saya lebih berat hati untuk berpisah dengannya terutama selepas renung muka dan matanya.

"Lagipun saya pernah kehilangan dua kucing kesayangan, Oppo dan Gebus pada 2017 yang dicuri orang sebelum melepaskan seekor lagi kucing kepada orang kerana masalah kesihatan saya jadi tak nak lagi melalui pengalaman perit itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 3:26 PM