LELAKI Palestin mengakui memiliki ladang durian Musang King di negara ini.
LELAKI Palestin mengakui memiliki ladang durian Musang King di negara ini.
Yusmizal Dolah Aling dan Natrah Laili Abdul Aziz dan Anis Syuhada Mohd Rosli

Kuala Lumpur: Mengaku mempunyai ladang durian Musang King dan gudang penyimpanan yang banyak di Malaysia, seorang lelaki warga Palestin dikesan aktif menjadikan negara ini sebagai hab penipuan dengan memperdaya lebih 150 mangsa membabitkan kerugian berjumlah kira-kira RM20 juta.

Lelaki terbabit dipercayai berada di Malaysia dan mengambil peluang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melakukan penipuan dengan menjanjikan pulangan kepada pelabur yang menyertai perniagaan 'atas angin' itu.

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Khidmat Guam Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, peserta pelaburan dari dalam dan luar negara termasuk dari Timur Tengah hanya diberikan sebatang pokok durian Musang King yang diambil gambarnya sebagai bukti wujudnya skim terbabit.

"Mangsa ditawarkan pembelian sebatang pokok pada harga RM3,000 dan dijanjikan akan mendapat pulangan dua hingga tiga kali ganda.

"Lelaki itu juga mendakwa setiap pokok boleh menghasilkan 100 biji durian dan pelabur akan mendapat keuntungan bergantung pada harga semasa.

"Dengan licik, dia mengambil gambar gudang di beberapa lokasi di negara ini kononnya ia adalah gudang penyimpanan durian miliknya sedangkan ia adalah gudang kepunyaan orang lain," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Khairul Anwar berkata, setakat ini, lebih 150 mangsa terjebak dengan pelaburan skim itu dengan kebanyakannya membabitkan ekspatriat dan golongan profesional.

Katanya, ada juga pemastautin yang menjadi mangsa kerana mereka juga didapati lebih mudah dipengaruhi.

Menurutnya, lelaki itu turut menyasarkan musim durian kali ini sebagai waktu yang sesuai untuk memperdayakan mangsa selain mendakwa peserta skim akan mendapat keseluruhan perolehan sebanyak AS$595,050 (kira-kira RM2.6 juta) setiap bulan.

Beliau berkata, lelaki terbabit mendakwa sebagai wakil syarikat antarabangsa yang memiliki ladang durian dan gudang untuk menyimpan hasil tanaman sebelum dieksport ke luar negara.

"Percaya dengan pulangan 'durian runtuh' itu, mangsa mula melabur dalam skim berkenaan dengan harapan memperoleh hasil pelaburan yang lumayan.

"Lebih parah apabila mangsa mempromosikan pelaburan ini kepada kenalan tanpa mengetahui ia adalah modus operandi scammer untuk menarik lebih ramai mangsa menyertainya," kataya.

Khairul Anwar berkata, pihaknya sedang berhubung dengan beberapa lagi mangsa untuk mendapatkan petunjuk baharu mengenai kegiatan lelaki itu.

Menurutnya, beliau juga meminta Pengarah Advokasi Khidmat Guam Mahmud Jumaat untuk mengendalikan kes ini bagi memastikan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.

"Kita alu-alukan mangsa lain untuk tampil membuat aduan segera. Buat masa ini sudah ada lebih 150 mangsa tidak termasuk yang belum membuat aduan rasmi kepada kita.

"Saya tidak menolak kemungkinan ramai lagi mangsa di luar sana yang belum tampil. Kita akan bawa isu ini kepada Bukit Aman dan Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian terbabit.

Khidmat Guam tawar khidmat nasihat secara percuma

Kuala Lumpur: Simpati dengan nasib menimpa mangsa penipuan di seluruh negara, sekumpulan peguam mengambil inisiatif menubuhkan Khidmat Guam bagi membantu orang ramai mendapatkan khidmat dan nasihat guaman.

Ia dikendalikan oleh beberapa peguam yang akan memberi tumpuan khususnya kepada kes jenayah komersial, syariah, percukaian, pelbagai jenis tuntutan dan aspek berkaitan.

Pengerusi Khidmat Guam Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihaknya tampil dengan inisiatif untuk membantu rakyat Malaysia yang berdepan isu terbabit bagi membolehkan nasib mereka dibela.

Katanya, berdasarkan pemerhatiannya dalam tempoh dua tahun lalu mendapati kewujudan penipu itu adalah terancang, licik dan bersistematik untuk memperdayakan orang ramai khususnya warga emas.

"Kami di Khidmat Guam menawarkan khidmat nasihat secara percuma merangkumi pelbagai elemen.

"Ia sebagai tanggungjawab korporat bagi membantu mereka yang menjadi mangsa dan terpedaya dengan janji manis scammer yang kita tahu sedang bermaharajalela ketika ini.

"Khidmat Guam juga akan bekerjasama dengan badan berautoriti seperti polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan lain-lain untuk mencari jalan penyelesaian," katanya.

Menurutnya, orang ramai boleh merujuk sebarang masalah dihadapi kepada Khidmat Guam melalui emel di [email protected] dan mereka akan dirujuk kepada peguam untuk tindakan susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 12:39 PM