Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Peguam bergelar Datuk disyaki menipu seorang lelaki tempatan dalam urusan penjualan tanah bernilai RM1.4 juta di Sepang, Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, individu berusia 54 tahun itu membuat laporan polis pada 16 Mac.

"Mangsa dipercayai berjumpa dengan suspek dan bersetuju untuk melantik firma guaman terbabit bagi menguruskan jual beli tanah pusaka milik mangsa," katanya pada sidang media mingguan JSJK di sini, hari ini.

Menurutnya, tanah berkenaan sudah berjaya di jual dengan harga RM1.4 juta dan mangsa sudah menerima bayaran sebanyak RM381,110.

"Mengikut perjanjian suspek bertanggungjawab menguruskan wang jualan itu bagi tujuan bayaran balik kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan menyerahkan bakinya kepada mangsa.

"Bagaimanapun, sehingga kini suspek masih tidak berbuat demikian dan kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, peguam dinasihatkan agar memastikan kepentingan anak guam masing-masing dilindungi dengan baik dan harus menunjukkan integriti yang tinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata, lima kertas siasatan dibuka bagi penipuan pelaburan membabitkan Skim Pelaburan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah dengan jumlah kerugian sebanyak RM745,685 sejak Januari lalu.

"Melalui siasatan yang dijalankan, skim ini mula beroperasi sejak 2019 dan menjanjikan pulangan lumayan kepada pelabur kononnya mengikut konsep hibah (hadiah).

"Pulangan yang ditawarkan sehingga RM1 juta bagi setiap RM1,000 yang dilaburkan dan tawaran pelaburan ini dibuat secara bersemuka iaitu melalui kenalan serta saudara mara," katanya.

Menurutnya, setelah menghadiri seminar dan kursus yang diadakan, mangsa menjadi yakin dengan skim pelaburan yang ditawarkan dan kemudian memindahkan wang ke akaun yang diberikan.

Ramli berkata, selepas wang dipindahkan mangsa tidak menerima sebarang keuntungan yang telah dijanjikan.

Beliau menasihatkan kepada orang ramai supaya berhati-hati dan melakukan penyelidikan yang lebih mendalam sebelum terbabit dalam sebarang skim pelaburan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 8:23 PM
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika sidang media  berkaitan situasi semasa jenayah komersial di Menara KPJ, Kuala Lumpur. FOTO FARHAN RAZAK
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika sidang media berkaitan situasi semasa jenayah komersial di Menara KPJ, Kuala Lumpur. FOTO FARHAN RAZAK