GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Satu laporan polis akan dibuat oleh mangsa penipuan skim kutu ganti dalam masa terdekat selepas inisiatif penyelesaian yang diambil menemui jalan buntu.

Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat berkata, laporan dijangka dibuat oleh lebih 30 peserta skim yang mahukan keadilan selepas tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan.

Katanya, pihaknya yakin lebih ramai mangsa skim sama tampil dan ia akan membantu siasatan pihak berkuasa dalam kes itu.

"Semalam, kita adakan perbincangan antara Khidmat Guam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan aktivis Mona Din untuk merungkai permasalahan ini secara terperinci.

"Apa yang jelas, seseorang perlu bertanggungjawab dengan 'money game' ini. Kita sudah cuba kumpulkan seramai mungkin mangsa dan kita tunggu perkembangan terbaru nanti," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, pihaknya sudah mengadakan dua pertemuan bersama penganjur, ejen dan peserta untuk mencari jalan penyelesaian serta meminimumkan kerugian.

"Bagaimanapun, setakat ini usaha untuk mendapatkan semula dana daripada ejen masih menemui jalan buntu dan kita masih berusaha menyelesaikannya secara menang-menang.

"Apa yang kita harapkan adalah semua pihak khususnya peserta memberi kerjasama sebaik mungkin bagi memberi keadilan dan membolehkan tindakan undang-undang diambil," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Khidmat Guam Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihaknya akan merujuk kes berkenaan ke Bukit Aman selepas laporan polis bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.

Katanya, Khidmat Guam juga akan melihat dari sudut undang-undang tindakan yang boleh diambil untuk membawa individu berkenaan ke muka pengadilan.

Minggu lalu, Harian Metro melaporkan lebih 2,000 peserta skim kutu ganti berputih mata apabila kerugian RM50 juta selepas tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan.

Mereka kini buntu memikirkan masa depan selepas diburu peserta bawahan yang meminta wang mereka dikembalikan selepas menyertai skim berkenaan yang bermula sejak 2015.

Difahamkan, skim kutu berkenaan mula bermasalah sekitar pertengahan tahun ini.

Keadaan itu secara tidak langsung memberi kesan kepada mangsa yang terpaksa mencari jalan bagaimana untuk menggantikan semula wang yang dimasukkan untuk pelaburan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 2:50 PM