GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling

Shah Alam: Pengasas skim kutu ganti yang mahu dikenali sebagai Fatin (bukan nama sebenar) mengaku memanipulasi seramai 16 ejen 'pelaburan' itu tanpa pengetahuan mereka membabitkan dana berjumlah jutaan ringgit.

Dalam pengakuan yang dibuat ketika pertemuan dengan mangsa dan Pengarah Khidmat Guam Mahmud Jumaat, wanita berusia 30-an itu mengakui skim kutu berkenaan adalah money game menyebabkan dia kini tidak mampu membuat bayaran balik kepada semua mangsa.

Fatin berkata, masalah berkenaan timbul selepas berlaku kegagalan dalam pengurusan wang oleh dua bekas kakitangannya menyebabkan jumlah bayaran balik menjadi semakin besar.

"Saya akui sudah memanipulasi 16 orang pengendali (ejen) termasuk menggunakan akaun bank mereka sebagai akaun amanah untuk skim ini.

"Sesetengah daripada akaun ini digunakan untuk pengurusan iaitu kemasukan duit kepada peserta dan ia di bawah arahan saya sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, Mahmud berkata, semakan pihaknya mendapati skim berkenaan bermula tujuh tahun lalu dan pada awalnya ia adalah seperti permainan kutu biasa.

Katanya, beberapa tahun kemudian, ia ditukarkan kepada money game dengan wang pelaburan berkenaan akan dijadikan modal pusingan untuk dibayar kepada peserta-peserta sebelumnya.

"Setakat ini, kita difahamkan ada 2,000 mangsa terdiri daripada peserta, pengendali (ejen) dan penganjur (ibu kutu). Ada yang rugi antara RM200,000 hingga RM6 juta seorang.

"Khidmat Guam sudah berhubung dengan peguam penganjur (ibu kutu) untuk mencari penyelesaian secara menang-menang. Jika tidak selesai, maka kita akan meneruskan prosedur undang-undang dan laporan polis," katanya.

Katanya, difahamkan, kadar pulangan yang dijanjikan kepada setiap peserta adalah antara 20 hingga 30 peratus manakala ejen skim berkenaan akan dibayar gaji mengikut jumlah pelaburan yang berjaya dibawa masuk.

"Selain itu, ia menjadi antara skim terbesar setakat ini membabitkan puluhan juta ringgit dan tidak menolak kemungkinan jumlahnya lebih besar berdasarkan anggaran kerugian semasa," katanya.

'Ibu kutu' dah jerat lebih 2,000 mangsa

Penganjur skim kutu ganti atau 'ibu kutu' boleh menetapkan gaji, komisyen dan bayaran kepada peserta.

Itu antara manfaat 'luar biasa' diperoleh individu tertentu apabila menyertai skim kutu ganti yang menyebabkan mangsa kini berdepan kerugian berjumlah RM50 juta selepas didapati gagal membuat bayaran balik.

Dengan menerima habuan sehingga 70 peratus daripada jumlah pelaburan diterima, ibu kutu dipercayai sudah menjerat 2,000 mangsa dan seramai 30 wakil mangsa tampil membuat aduan kepada Khidmat Guam untuk mendapatkan pembelaan, baru-baru ini.

Keadaan itu berlaku selepas 'pelabur' termasuk ejen skim berkenaan tidak tahan akibat diburu oleh peserta bawahan yang meminta wang mereka dikembalikan semula biarpun sebenarnya ia sudah lesap.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Azri, 30-an, berkata dia menyertai skim kutu berkenaan sejak awal tahun lalu dan dijanjikan bayaran tambahan kerana menggantikan peserta lain yang menarik diri.

Katanya, dia dijanjikan pulangan sekitar 10 peratus menyebabkannya menggandakan jumlah pelaburan lebih RM50,000 kerana mahu keuntungan lebih.

"Pada awalnya saya melihat ia adalah skim kutu biasa namun selepas beberapa bulan, barulah masalah sebenar timbul dan ketika itu saya sudah ada berpuluh-puluh peserta di bawah saya.

"Bila saya tanyakan kepada pengendali, dia hanya memberikan alasan bahawa saya perlu bertanggungjawab dengan orang di bawah saya. Sehingga kini, saya pula yang menanggung beban 'bayaran' berjumlah RM6 juta," katanya ketika menyertai lebih 20 mangsa mengadakan perbincangan bersama Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat di sini.

Turut hadir, Aktivis Kanan Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Zharif Johor.

Mangsa lain yang mahu dikenali sebagai Farah berkata, dia terpaksa menanggung tuntutan sebanyak RM4 juta daripada lebih 100 peserta selepas skim kutu berkenaan mula bermasalah kira-kira dua bulan lalu.

Katanya, setiap hari dia buntu memikirkan bagaimana mahu membayar semula wang peserta bawahan yang 'memburunya.'

"Apa yang saya boleh katakan adalah saya juga mangsa. Saya hanya menerima arahan daripada penganjur skim kutu untuk memasukkan wang kepada mana-mana peserta.

"Saya pun tidak mendapat keuntungan seperti difikirkan banyak pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 7:05 AM