Zeinab (dua dari kiri) bersama Khairul Anwar dan Mahmud membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju semalam. FOTO Ihsan Khidmat Guam
Zeinab (dua dari kiri) bersama Khairul Anwar dan Mahmud membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju semalam. FOTO Ihsan Khidmat Guam
Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Natrah Laili Abdul Aziz dan Anis Syuhada Mohd Rosli


Kuala Lumpur: Mangsa skim pelaburan Musang King yang terpedaya dengan janji manis seorang warga Palestin terpaksa berputih mata selepas lelaki itu menghilangkan diri sejak April lalu.

Segala keuntungan, manfaat dan perolehan yang dijanjikan menerusi projek terbabit lebur begitu sahaja apabila dia gagal dikesan menyebabkan mangsa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit.

Seorang mangsa yang juga warga Sudan, Zeinab Babo Diedan Goda, 43, berkata, pada awal perkenalan dengan lelaki itu, dia dijanjikan pelaburan tanpa risiko dan pulangan lumayan.

"Di dalam pembentangan mengenai projek itu, kami dijanjikan keuntungan setiap empat bulan bagi projek ladang durian Musang King dan pusat beli-belah.

"Pembentangan diadakan secara Zoom kerana pada waktu itu Malaysia masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19.

"Saya sendiri membuat dua kali pembayaran dengan jumlah keseluruhan RM40,900 tetapi akhirnya dia lesap begitu sahaja," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini, semalam.

Hadir sama menemaninya ialah Pengerusi Khidmat Guam, Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat.

Harian Metro pada Jumaat lalu melaporkan, seorang warga Palestin licik memperdaya 150 ekspatriat dan golongan profesional dari beberapa negara termasuk Malaysia untuk melabur di dalam projek Musang King dengan anggaran kerugian keseluruhan RM20 juta.

Mangsa juga diyakinkan dengan pulangan sehingga tiga kali ganda kerana durian mendapat permintaan tinggi bukan sahaja pasaran tempatan, malah di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Mahmud berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat daripada pengadu dan akan merujuk kes berkenaan ke Bukit Aman dalam waktu terdekat.

Katanya, maklumat yang diperoleh juga akan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bagi membantu siasatan.

"Khidmat Guam tampil bersama pengadu membuat laporan polis dan tindakan susulan selepas ini. Setakat ini kita percaya ramai lagi yang terpedaya, tetapi belum tampil membuat laporan polis.

"Hasil maklumat daripada mangsa, lelaki Palestin itu dipercayai masih berada di Malaysia, justeru kita minta lebih ramai mangsa tampil untuk membuat laporan," katanya.

#kw musang king, pelaburan, tipu, wang, palestin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 11:50 AM