Wartawan Harian Metro, Yusmizal Dolah Aling yang dinobatkan pemenang Hadiah Kajai dan membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi dan sijil pada malam anugerah MPI 2023 di Hotel The Majestic Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
Wartawan Harian Metro, Yusmizal Dolah Aling yang dinobatkan pemenang Hadiah Kajai dan membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi dan sijil pada malam anugerah MPI 2023 di Hotel The Majestic Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: "Saya tidak terkejut berita dan penerbitan artikel ini diangkat sebegini kerana inilah budaya dan resam yang perlu kita tampilkan dalam masyarakat.

"Tahniah kepada penulis (Penolong Pengarang Berita Harian Metro (HM), Yusmizal Dolah Aling) dan Harian Metro atas kejayaan anugerah tertinggi kewartawanan," kata aktivis masyarakat, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim.

Menurutnya, cerita Rohana Abdullah, 23 dan Chee Hoi Lan, 84 adalah manifestasi sebenar toleransi merentasi agama, kaum dan segala-galanya.

Beliau yang juga antara individu penting bekerjasama dengan Harian Metro sepanjang penerbitan artikel berkenaan bermula Januari tahun lalu.

Kisah unik Chee dan Rohana mendapat sambutan semua rakyat negara ini termasuk pemimpin negara apabila wanita berbangsa cina berkenaan menjaga Rohana sejak berusia dua bulan.

Biar berbeza budaya dan agama, itu tidak menjadi penghalang untuk wanita berkenaan menumpahkan kasih sayang kepada remaja itu termasuk menyediakan wang belanja untuk mengikuti Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).

Gulam Muszaffar
Gulam Muszaffar

Gulam Muszaffar berkata, kisah Chee dan Rohana itu adalah cerminan sebenar terhadap maksud toleransi serta perpaduan merentasi semua aspek lain.

"Biarpun berbeza agama dan bangsa, tetapi mak cik Chee menunjukkan sikap ikhlasnya menjaga bayi berusia dua bulan ketika itu tanpa ada pertalian darah malah tidak mempunyai kaitan bangsa.

"Wanita itu juga menyediakan segenap keperluan asas termasuk persiapan agama untuk Rohana, ini adalah bukti dan maksud ikhlas dalam resam masyarakat negara ini yang berbilang bangsa," katanya kepada Harian Metro.

Beliau turut mengharapkan berita dan kisah wanita berkenaan menjadi pembuka mata semua pihak bahawa inilah aspirasi untuk membina negara bangsa yang berjaya.

Menurutnya, mungkin bagi segelintir pihak ia isu remeh, tetapi mempunyai kesan yang besar kepada masyarakat serta boleh memberi inspirasi kepada orang lain.

"Apa yang penting adalah mesej utama mengenai keikhlasan serta toleransi.

"Saya juga berharap sensitiviti agama dan kaum ini tidak dijadikan bahan politik kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat di bawah ini," katanya.

Pendedahan kisah pengorbanan wanita Cina memelihara bayi perempuan berlainan bangsa dan agama menobatkan Yusmizal sebagai pemenang utama Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2022, Jumaat lalu.

Lebih bermakna apabila Hadiah Kajai itu dibawa pulang selepas 30 tahun HM meraihnya menerusi laporan 'Kakakku penyelamatku' oleh Rasid Rahaman dan Hamid Karim pada 1993.

Dengan kemenangan itu, Yusmizal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000, trofi serta sijil.

Laporan berita bersiri, 'Terima Kasih Laoshi', 'Hadiah Raya Paling Bermakna', 'Rohana Abdullah kini warga Malaysia' dan 'Sanjung Budi Laoshi' memaparkan kemurnian hati dan kasih sayang Chee Hoi Lan, 83, yang memelihara Rohana Abdullah sejak berusia dua bulan lagi.

Kisah mereka mengundang reaksi pelbagai pihak yang memuji sikap murni Chee yang turut berusaha mengekalkan Rohana dengan agama asal, Islam sehingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 7:00 AM