Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Dua puluh dua tahun lalu, dia ditinggalkan di tadika kerana ibunya terpaksa pulang ke kampung halaman di Indonesia.

Ketika itu, usia Rohana Abdullah baru sahaja dua bulan namun kerana kemurnian hati seorang wanita berbangsa Cina, dia dijaga seperti anak sendiri sehinggalah sekarang.

Wanita itu, Chee Hoi Lan, 83, adalah guru tadika di mana ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan dan mengenangkan nasib bayi terbabit, dia mengambil keputusan menjaganya seperti anak sendiri.

Hoi Lan berkata, dia sedar isu perbezaan agama akan menjadi masalah dan kerana itu, dia berusaha menyediakan segala keperluan Rohana, 22, menggunakan wangnya sendiri termasuk menghantarnya ke Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).

Selain itu, Rohana juga dipastikan belajar perkara asas mengenai Islam menerusi pengajian langsung di sekolah dan didikan daripada kenalannya.

"Saya sayangkan dia seperti anak sendiri. Sejak kecil, saya pastikan dia makan makanan halal dan melakukan ibadat sebagai seorang Muslim sehinggalah hari ini.

"Cuma sebelum saya mati, saya mahu lihat dia berkahwin, bekerjaya dan bahagia. Saya lega kerana selama hayat saya, saya pastikan dia terjaga sebagai seorang Muslim, dia akan kekal begitu sampai bila-bila," katanya ketika membuat aduan mengenai Rohana yang tidak memiliki kewarganegaraan kepada Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim, kelmarin.

ROHANA memeluk erat serta mencium ibu angkatnya dengan penuh kasih sayang. FOTO Amirudin Sahib
ROHANA memeluk erat serta mencium ibu angkatnya dengan penuh kasih sayang. FOTO Amirudin Sahib

Hoi Lan yang tidak berkahwin berkata, selama ini Rohana tinggal bersamanya di sebuah kawasan perumahan di ibu negara dan sehingga hari ini, dia memastikan 'anaknya' itu meneruskan hidup sebagai seorang Muslim.

"Saya tahu ada benda yang dia tidak boleh makan. Saya tahu ada masanya dia perlu solat dan itu langsung tidak menjadi masalah.

"Saya mengambil tanggungjawab sebagai ibu, saya didik, saya asuh dia seperti mana sepatutnya. Yang membezakan kami adalah budaya dan agama," katanya.

Rohana yang kelihatan sedih sepanjang perbualan berkata, dia akan terus menyayangi emak angkat yang mesra dipanggil laoshi (cikgu dalam bahasa Mandarin) itu walaupun selepas dia membawa haluan sendiri.

Katanya, ibunya yang juga warga Indonesia berkahwin dengan bapanya seorang warga tempatan yang menghilangkan diri selepas dia dilahirkan datang ke Malaysia beberapa kali sepanjang dia dijaga oleh Hoi Lan.

"Cuma ketika ini saya berdepan masalah status kewarganegaraan. Saya faham kerana ibu warga Indonesia dan bapa pula menghilangkan diri sejak saya kecil.

"Saya ada memohon taraf kewarganegaraan pada 2016 dan sehingga kini masih belum ada maklum balas.

"Jadi saya dan laoshi berjumpa dengan Gulam Muszaffar yang kebetulan anak muridnya pada 1980 untuk meminta bantuan dalam isu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 12:00 PM