Yusmizal yang dinobatkan pemenang Hadiah Kajai dan membawa pulang   wang tunai RM30,000, trofi dan sijil pada malam anugerah MPI 2023 di Hotel The Majestic Kuala Lumpur. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Yusmizal yang dinobatkan pemenang Hadiah Kajai dan membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi dan sijil pada malam anugerah MPI 2023 di Hotel The Majestic Kuala Lumpur. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Ketika mendapat tahu kisah Chee Hoi Lan yang menjaga Rohana Abdullah sejak berusia dua bulan dengan memastikan Islamnya terpelihara, terdetik di hati betapa hebatnya wanita ini.

Ketika tiba di rumah kedua-dua beranak ini, saya kagum melihat ketertiban Rohana, seorang Muslim yang hidupnya hanya ada 'Laoshi' yang sanggup menjaganya walaupun berlainan agama.

Pada awalnya, saya hanya menumpukan kepada kasih warga emas berbangsa Cina itu kepada Rohana, tetapi selepas itu, timbul satu dilema baru, Rohana tidak mempunyai dokumen sebagai warganegara Malaysia.

Keadaan itu menyebabkan dia tidak dapat menyambung pengajian, tidak boleh bekerja apatah lagi membina masa depan seperti anak gadis seusianya yang lain.

Dengan bantuan aktivis masyarakat di kawasan Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim, kami cuba membawa isu status Rohana, seorang remaja yang bijak dalam pelajaran ini kepada pengetahuan pihak berwajib.

Diketahui bahawa dia ada seorang ayah warganegara Malaysia manakala ibunya berasal dari Indonesia.

Kisahnya yang disiarkan pada 14 Januari tahun lalu itu mendapat perhatian Perdana Menteri sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menghubunginya dan menawarkan bantuan.

Penulis pula ketika itu dihujani ratusan e-mel termasuk daripada media Indonesia yang mahukan maklumat lebih lanjut mengenai kisah itu.

Pada 20 Januari, kami ke Kementerian Dalam Negeri untuk memberi keterangan selama dua jam dan ketika ini penulis tersentak apabila 'dihalau' pegawai menteri walaupun sudah memaklumkan kehadiran di situ.

Cabaran membantu Rohana ini seperti ada sinar selepas Duta Besar Indonesia, Hermono menjemput kami ke kediaman rasminya untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Penulis masih ingat Hermono memaklumkan masalah itu akan selesai pada malam itu juga jika Rohana memilih untuk menjadi warganegara Indonesia.

Namun, anak gadis yang kini berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu tetap memilih Malaysia sebagai 'rumahnya'.

Harapan yang ditunggu tiba pada 30 April 2022 apabila Rohana mendapat Surat Keputusan Kewarganegaraan daripada KDN yang menjadi impiannya selama ini.

Jasa Hoi Lan pula dikenang dengan penganugerahan Ibu Sejati–Keluarga Malaysia sempena Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan.

Insan penyayang itu turut bertuah apabila disantuni Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada majlis itu.

Satu kepuasan apabila melihat episod itu berakhir dengan berita gembira ketika penulis dimaklumkan ada ribuan lagi kes seumpama itu yang tidak berpenghujung.

Setidaknya, penulis, menerusi wadah Harian Metro, menyelami, membantu dan memberikan semangat baru kepada Hoi Lan dan Rohana sambil mengharapkan ada mekanisme terbaik difikirkan kerajaan untuk menyelesaikan masalah ribuan Rohana yang lain.

Kemenangan ini penulis dedikasikan khusus buat semua kakitangan Harian Metro khususnya kepada Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit yang banyak memberi dorongan sehingga isu ini selesai.

Tidak lengkap juga jika tidak sebut nama rakan baik penulis, Allahyarham Mohd Firdaus Ibrahim yang sebelum ini menjadi rujukan terutama ketika berdepan masalah.

Ya, Harian Metro sudah menang dan ia adalah manifestasi usaha semua kakitangan yang berusaha menghasilkan laporan terbaik setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 7:00 AM