SAHARUL kini bergelar usahawan.
SAHARUL kini bergelar usahawan.
Syafil Syazwan Jefri


MEMULAKAN langkah dalam industri menerusi program realiti pencarian bakat sebagai model, perjalanan figura bernama Saharul Ridzwan nampaknya lebih terarah pada dunia lakonan.

Cabang seni lakonan itu juga membuka pintu rezeki buatnya untuk menempa nama sekali gus menjadi satu cabang seni yang sesuai dengan minatnya.

Kini, usia kerjayanya sebagai pelakon menginjak angka 10 tahun dan pelbagai watak sudah berjaya dipegang serta dijayakan oleh Saharul.

Namun begitu, Saharul juga tidak menafikan hakikat bahawa dia perlu mempersiapkan diri dan tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada kerjaya lakonan dalam mencari rezeki.

"Alhamdulillah, sekarang, saya sudah mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Namun, itu bukanlah bererti saya akan memperlahankan kerja seni.

"Apa yang boleh dikatakan, saya sudah berlakon selama 10 tahun. Kadang-kadang, kalau kita berada dalam zon selesa terlalu lama pun boleh menjadi bahaya," katanya.

Menurut Saharul, dia belum terfikir untuk meninggalkan dunia lakonan sepenuhnya kerana akan timbul rasa rindu.

"Kalau saya berhenti berlakon terus, itu akan membuatkan saya rasa rindu. Pada 2018 saya pernah luahkan hasrat untuk berhenti berlakon.

"Berlakon tak semestinya drama, boleh jadi berlakon iklan dan sebagainya. Cumanya, saya akan perlahan-lahan mengubah daripada genre cinta kepada genre lain," katanya.

Bagi peminat setia Saharul, tentunya ramai sedia maklum mengenai penghijrahan dan kerja dakwah yang disertainya sejak Ramadan tahun lalu.

"Kali pertama saya keluar menyertai kegiatan dakwah adalah pada Ramadan tahun lalu.

"Jadi, apabila saya sudah mula belajar, Allah hadirkan sedikit perasaan dalam hati saya dan buatkan saya terfikir, adakah perkara yang saya buat itu, betul atau salah.

"Sebagai pelakon, walaupun kita lihat ia hanya sebagai satu lakonan dalam menjayakan sesuatu watak, sebenarnya kita meminjamkan rasa kepada watak itu," katanya.

Disebabkan itu, Saharul pernah menolak beberapa tawaran lakonan antaranya filem.

"Baru-baru ini, saya ada dapat satu tawaran untuk berlakon filem. Tapi, saya terpaksa tolak. Bukan saya tolak disebabkan terlalu memilih watak atau tak sesuai dengan imej.

"Seperti yang dijelaskan, saya perlu pinjamkan rasa. Kalau boleh, saya nak buat perkara berlandaskan apa yang sepatutnya," katanya.

Saharul juga bersyukur kerana walaupun dia kini sudah lama tidak membintangi drama, namun rezeki untuknya tetap ada.

"Sekarang, saya banyak dapat tawaran untuk program ke arah Islamik. Antaranya, ada juga tawaran daripada TV Alhijrah untuk terbabit dalam program selawat.

"Allah juga hadirkan sahabat yang buatkan saya bersyukur dan ingin terus belajar. Apabila kita keluar berdakwah, kita belajar untuk yakin bahawa rezeki itu sudah Allah tetapkan," katanya.

Terbaharu, Saharul berangkat ke Tanah Suci pada 2 April (semalam) untuk menunaikan ibadah umrah selama 10 hari.

"Perancangan asalnya, saya teringin nak menunaikan ibadah haji. Tapi, bila disemak, giliran saya adalah pada 2062.

"Jadi, tahun ini saya menunaikan umrah bersama isteri dan cabarannya adalah untuk tinggalkan anak kami selama 10 hari di Malaysia," katanya.

Menurutnya, perjalanan umrahnya kali ini adalah untuk membawa cintanya kepada Rasulullah dan sahabat di samping menyambut Ramadan di sana.

"Kalau dulu, saya ke sana dengan harapan untuk doakan sesuatu di sana. Kali ini, saya membawa cinta kerana saya dah kenal Nabi Muhammad, sahabat serta kisah pengorbanan mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saharul kini membuka restoran makanan Barat, HumanGang Steak House bersama tiga rakan kongsi termasuk pengacara, Nabil Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 6:00 AM