Redzuan Muharam

Kuantan: Cukup berat hati Zakiah Nuraihan Muhammad Shaharuddin melepaskan bapa tersayang berhijrah ke Makkah, Arab Saudi dan terus menetap di sana.

Bagaimanapun, Zakiah Nuraihan, 32, dan tiga adik-beradiknya akur demi menunaikan hasrat bapa mereka, Muhammad Shaharuddin Saadon, 65, yang sudah sekian lama terpendam.

Kisah ini mendapat perhatian selepas Zakiah Nuraihan memuat naik video di TikTok yang menunjukkan rakaman detik terakhir bersama bapanya dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di TikTok.

Bercerita lanjut, Zakiah Nuraihan yang menetap di Bukit Setongkol, di sini berkata, bapanya sudah lama meluahkan hasrat untuk menetap di Makkah dan sepatutnya bertolak ke sana pada Mac 2020 namun terpaksa ditangguhkan kerana penutupan sempadan negara akibat pandemik Covid-19.

Selepas dua tahun menanti, Zakiah Nuraihan berkata, impian bapanya menjadi kenyataan dan sudah bertolak ke Makkah, kira-kira 6.50 petang kelmarin.

"Sejak mama (ibu, Saniah Suratin) meninggal dunia lima tahun lalu, ayah tidak banyak bercakap dan kelihatan sering termenung.

"Ayah juga banyak habiskan masa pergi ke masjid sekitar Kuala Lumpur, mungkin kerana dia sunyi serta tiada teman berborak di rumah sejak mama tiada.

"Ada yang cadangkan ayah berkahwin supaya pasangannya dapat bantu jaga makan pakainya namun ayah enggan dan beritahu bukan itu yang dimahukan.

"Sebaliknya, ayah beritahu abang long (abang yang sulung) hasratnya adalah untuk berhijrah ke Makkah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MUHAMMAD Shaharuddin nekad berhijrah ke Makkah. FOTO Ihsan  Zakiah  Nuraihan Muhammad Shaharuddin
MUHAMMAD Shaharuddin nekad berhijrah ke Makkah. FOTO Ihsan Zakiah Nuraihan Muhammad Shaharuddin

Zakiah Nuraihan berkata, dia tidak terkejut apabila dapat tahu hasrat bapanya kerana ibunya pernah memberitahu hal itu sebelum meninggal dunia.

Bagaimanapun, dia dan adik-beradik tidak menyangka bapanya bersungguh dan nekad dengan keputusannya.

"Sepanjang dua tahun ini, saya cuba memujuk ayah untuk terus menetap di sini malah 'mengumpannya' dengan anak saya iaitu cucu tunggalnya (Aleesa Maryam Mohd Ridzuan, dua tahun tiga bulan).

"Saya cuba buat cerita sedih dengan harapan ayah berubah fikiran dan tidak jadi ke sana apabila teringatkan cucunya membesar tanpa datuk namun dia nekad dan suami (Mohd Ridzuan Setiman, 35) juga minta saya relakan pemergiannya.

"Lagipun, ayah bersungguh sangat dan kecewa apabila hasratnya tidak kesampaian dua tahun lalu. Disebabkan itu, ayah terlalu gembira apabila Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) mengumumkan jemaah mengerjakan umrah semula kerana membolehkannya berlepas ke Tanah Suci.

"Ayah sangat teruja hingga semangat untuk membeli jubah dan kain pelikat baru bagi dibawa ke sana," katanya.

ZAKIAH Nuraihan (tiga dari kanan) bergambar kenangan dengan bapanya, Muhammad Shaharuddin dan ahli keluarga lain buat kali terakhir di KLIA. FOTO Ihsan  Zakiah  Nuraihan Muhammad Shaharuddin
ZAKIAH Nuraihan (tiga dari kanan) bergambar kenangan dengan bapanya, Muhammad Shaharuddin dan ahli keluarga lain buat kali terakhir di KLIA. FOTO Ihsan Zakiah Nuraihan Muhammad Shaharuddin

Zakiah Nuraihan berkata, bapanya akan menyewa bilik di Makkah dan urusan untuk menetap di sana dibantu oleh seorang ustaz yang juga ejen ibadah umrah.

"Jujurnya, saya tidak kenal ustaz secara peribadi dan sekadar tahu ayah berkenalan dengannya di masjid.

"Ustaz itu dan menantunya yang bantu uruskan semuanya cuma dia (ustaz) akan pulang selepas mengerjakan umrah jadi tinggal ayah saja di sana.

"Selepas tiba di sana, ayah ada kirimkan WhatsApp gambarnya di depan Kaabah dan sampai sekarang saya masih tidak tidur lena memikirkan makan pakai ayah di sana selain risau ada yang mengambil kesempatan dengannya.

"Kiranya, saya kerap juga WhatsApp ayah sejak dia di sana untuk bertanya khabar namun tergamam apabila ayah balas dengan meminta jangan risau dan beri ruang untuk beribadah dengan tenang sehingga jadi serba salah saya dibuatnya," katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok yang tular, Zakiah Nuraihan berkata, dia tidak menyangka video berkenaan akan tular.

"Alhamdulillah, ramai yang mendoakan ayah dan ada juga minta saya jangan risau kerana ramai komuniti Malaysia ada menetap di sana.

"Walaupun sedih, saya cuba reda dengan penghijrahan ayah. Saya juga berharap mereka yang ke Tanah Suci dan terserempak dengan ayah di sana untuk menegurnya dan bantu tengokkan keadaannya bagi pihak kami sekeluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 8:55 PM