Redzuan Muharam


Nibong Tebal: "Saya sudah lama membesar di sini jadi sudah tentu berasakan diri sebahagian rakyat Malaysia," kata gadis kelahiran Tajikistan, Sabrina Abdulloeva.

Sabrina, 23, menarik perhatian netizen kerana berkongsi latar belakangnya yang berasal dari negara Asia Tengah itu sebelum mengikut ibu bapanya berhijrah ke Malaysia dan kini menetap di Taman Merbah Indah, di sini.

Pengalaman membesar di Malaysia yang menyebabkan penuntut Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Universiti Sains Malaysia (USM) itu fasih bertutur dalam Bahasa Melayu malah tidak kekok bercakap loghat utara.

"Saya datang ke sini (Malaysia) sejak berumur lapan tahun dan berhijrah selepas ibu berkahwin dengan bapa tiri. Hanya saya saja dilahirkan di Tajikistan manakala tiga adik lain di sini (Pulau Pinang).

"Mulanya memang agak susah juga untuk menyesuaikan diri kerana sudah terbiasa bertutur dalam bahasa Tajikistan dan Rusia tetapi tiba-tiba perlu belajar cakap Bahasa Melayu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, dia bagaimanapun cuba belajar dan pergaulan dengan rakan sebaya banyak membantunya sehingga fasih bertutur dalam Bahasa Melayu dan loghat utara.

"Sebenarnya agak lambat juga saya fasih berbahasa Melayu, seingat saya ketika di sekolah menengah. Itu pun kerana saya dikelilingi rakan Melayu ketika di sekolah malah perbualan harian kami juga dalam loghat utara maka jadi terbiasa.

"Kini, saya tiada lagi masalah bahasa cuma ramai salah sangka kerana ingatkan saya ini warga asing ketika di tempat awam," katanya.

Biarpun sudah 15 tahun menetap Malaysia, Sabrina mengakui keluarganya masih mengamalkan gaya hidup Tajikistan sehingga kini.

"Salah satunya adalah amalan duduk di lantai ketika di rumah dan kami selesa begitu. Saya rasa ia agak berbeza di Malaysia kerana kebanyakan rumah di sini ada sofa atau kerusi di ruang tamu.

"Saya ada beberapa kali pulang ke Tajikistan sejak berhijrah ke sini kerana keluarga ibu di sana dan masih boleh bertutur bahasa tempatan (Tajikistan) cuma sudah berasa seperti warga asing di sana. Ia mungkin disebabkan saya membesar di sini," katanya yang merancang menyambung pengajian peringkat Sarjana selepas menggenggam Ijazah Sarjana Muda.

Perkongsian Sabrina di media sosial yang menarik perhatian ramai. FOTO ihsan Sabrina Abdulloeva
Perkongsian Sabrina di media sosial yang menarik perhatian ramai. FOTO ihsan Sabrina Abdulloeva

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 7:07 PM