ALLAHYARHAM Musthafa Kamal dilaporkan hilang di Makkah sejak 12 Disember lalu. FOTO ihsan Muhammad Nabel
ALLAHYARHAM Musthafa Kamal dilaporkan hilang di Makkah sejak 12 Disember lalu. FOTO ihsan Muhammad Nabel
Ali Iqbal


Batu Pahat: "Hampir enam bulan kami menunggu, akhirnya kami mendapat jawapan yang amat menyedihkan," kata Muhammad Nabel, 26, anak kepada jemaah umrah Musthafa Kamal Abdullah, 49, yang hilang sejak 12 Disember tahun lalu.

Allahyarham Musthafa Kamal disahkan meninggal dunia di Tanah Suci pada 13 Februari lalu.

Perkhabaran duka itu menamatkan penantian keluarga Allahyarham Musthafa Kamal yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, di sini, selepas tertunggu-tunggu berita yang seolah-olah tiada penghujung.

Anaknya, Muhammad Nabel berkata, dia diberitahu oleh pihak Kedutaan Malaysia di Arab Saudi yang bapanya meninggal dunia pada 13 Februari lalu.

"Pengesahan itu dibuat selepas melalui pengesahan biometrik dan segala pengurusan jenazah selesai, termasuk pengebumiannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Sri Gading, di sini, hari ini.

Dengan berita itu, Muhammad Nabel berkata, mereka sekeluarga lega dan reda kehilangan insan tersayang.

"Selepas mendapat berita itu (kematian bapa) pada jam 11.40 pagi semalam, saya terus menunaikan solat jenazah ghaib selepas solat Jumaat.

"Ketika ini, saya bersama ibu, adik-beradik dan ahli keluarga lain hanya menunggu dokumen pengesahan kematian ayah. Cuma sedikit terkilan kerana proses pengesahan kematian dilakukan agak lama.

MUHAMMAD Nabel menunjukkan gambar arwah bapanya Musthafa Kamal yang disahkan meninggal dunia di Makkah ketika menunaikan umrah. FOTO ihsan MUHAMMAD Nabel
MUHAMMAD Nabel menunjukkan gambar arwah bapanya Musthafa Kamal yang disahkan meninggal dunia di Makkah ketika menunaikan umrah. FOTO ihsan MUHAMMAD Nabel

"Selain menunggu dokumen pengesahan kematian, kami sekeluarga masih tertunggu-tunggu punca sebenar ayah meninggal dan lokasi dia menghembuskan nafas terakhir," katanya.

Justeru, katanya, dia bersama ahli keluarga termasuk ibu berhasrat menziarahi pusara bapanya yang disemadikan di sebuah tanah perkuburan di Makkah dalam masa terdekat.

"Kejadian ini ada hikmah dan bersyukur ayah meninggal dalam keadaan keadaan berihram serta dalam bulan yang baik (Rejab)," katanya yang bertugas di Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat.

Pada 6 Disember lalu, Musthafa Kamal berangkat ke Tanah Suci bersama seorang lagi anak, Muaz, 17, dan dua beranak itu sepatutnya dijadual pulang ke tanah air pada 18 Disember.

Bagaimanapun, dia dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas Muaz menyedari tiada di bilik hotel di Makkah.

Sebelum kehilangannya, dua beranak itu dilaporkan baru pulang dari Madinah dan tiba di hotel kira-kira 7 malam.

Mereka sempat makan dan meletakkan barang serta berehat sebelum jam 10 malam dijadualkan membuat tawaf untuk umrah wajib.

Bagaimanapun, Muaz kembali ke hotel pada jam 12.30 tengah malam kemudian mendapati bapa mereka tiada di situ, malah beg silangnya juga tidak kelihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 12:46 PM