LAURA bersama bayi serta keluarganya. FOTO MEN Media
LAURA bersama bayi serta keluarganya. FOTO MEN Media
Agensi

London: Keajaiban berlaku kepada seorang wanita di United Kingdom ini apabila tersedar daripada koma dan mendapati dia sudah melahirkan bayi.

Wanita itu, Laura Ward, koma selepas dijangkiti Covid-19, ketika hamil bayi perempuannya, Hope.

Bayi itu terpaksa dilahirkan secara pembedahan kecemasan ketika usia kandungan 31 minggu, dua bulan sebelum tarikh jangkaan bersalin, 15 Oktober, kerana keadaan kesihatan si ibu semakin merosot.

Bayi itu dilahirkan dengan berat 1.3 kilogram di Royal Bolton Hospital itu.

Selepas dilahirkan, ia diletakkan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) hospital.

Bayi itu dilaporkan sihat dan mencapai berat badan lebih baik.

Laura berkata, perkara terakhir yang dia ingat sebelum koma ialah dia mengangguk memberi persetujuan untuk melahirkan Hope, manakala pasangannya, John Leece tidak dibenarkan masuk ke dewan bedah kerana peraturan Covid-19.

Katanya, dia tersedar daripada koma selepas tujuh minggu, pada 30 September lalu, dan tidak menyangka dia sudah melahirkan anaknya.

"Saya membuka mata melihat Hope di atas katil bersama saya, tetapi saya tak dapat menggerakkan mana-mana bahagian badan saya selain mengangguk dan menggeleng kepala," katanya yang berasal dari Tyldesley, Wigan.

Pembantu pengajar sekolah rendah itu tidak mempunyai sejarah penyakit, selain hanya masalah diabetes ketika hamil atau Gestational Diabetes Mellitus (GDM).

Dia pada mulanya belum mendapatkan suntikan vaksin kerana tidak disyorkan untuk menerima vaksin.

Namun, dia tidak dapat menerima suntikan itu selepas ditawarkan berbuat demikian dengan mengambil kira keadaan dirinya pada masa berkenaan.

Katanya, dia dijangkiti Covid-19 selepas mengalami batuk dan sukar bernafas.

Dia dirawat di Royal Bolton sebelum koma selama 35 hari dan bernafas menggunakan mesin bantuan pernafasan tahap tertinggi di Hospital Wythenshawe.

Laura berkata, selepas sedar, otot kakinya masih belum kuat sepenuhnya dan dia perlu menjalani rawatan pemulihan fisioterapi di Trafford General sebelum dibenarkan pulang ke rumah, baru-baru ini.

"Setiap hari saya bersemangat berlatih berjalan dengan harapan dapat pulang ke rumah cepat untuk menyambut Krismas bersama anak-anak.

"Jururawat di situ juga kagum melihat saya mampu melakukannya. Belum ada sesiapa dapat membuat kemajuan sebanyak itu dalam tempoh singkat," katanya seperti dilaporkan portal Metro UK.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 6:25 AM