Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Kuala Terengganu: Selepas sembilan bulan koma dan bertarung nyawa akibat radang otak, tiada yang lebih menggembirakan Nor Laila Razak, 33, apabila tersedar dan bertemu anak bongsu yang dilahirkannya ketika koma 13 Januari lalu.

Suaminya, Ruslili Usof, 35, mengakui hanya linangan air mata mampu dizahirkannya sebagai tanda kesyukuran kerana dapat menemukan anak perempuan bongsunya, Noor Shafikah Ruslili, lima bulan dengan isteri yang baru sedar koma tiga hari lalu.

Ruslili berkata, bayi perempuannya tidak berpeluang merasa susu ibu dan hanya bergantung dengan susu botol sejak dilahirkan.

“Sejak Noor Shafikah dilahirkan, ibu saya, Rakmah Ali, 55, banyak membantu menjaganya.

“Saya pula berulang-alik setiap hari dari rumah di Kampung Merang, Setiu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Apabila pulang baru saya ambil alih menguruskan anak dan menjaga Noor Shafikah. Selama sembilan bulan saya melakukan rutin ini dan bersyukur kerana isteri tersedar semula daripada koma,” katanya yang membawa Noor Shafikah berjumpa isterinya di wad semalam.

Harian Metro Februari lalu melaporkan, seorang ibu yang koma berjaya melahirkan anak pada 13 Januari.

Ketika melahirkan bayi berkenaan 15 Januari lalu, Noor Laila dalam keadaan koma sejak Oktober tahun lalu dan hanya sedar semula awal bulan ini.

Wanita berkenaan koma ketika lima bulan mengandung anak bongsunya dan penyakit radang otak itu baru diketahui selepas doktor menjalankan rawatan dan pemantauan sejak Oktober tahun lalu.

Hasil pemantauan dan kerja keras doktor akhirnya berjaya menyelamatkan nyawa bayi menerusi pembedahan yang dijalankan pada 15 Januari lalu.

Ruslili yang bekerja sebagai nelayan berkata, isterinya yang masih lemah mulanya janggal berjumpa Noor Shafikah kerana anaknya lahir ketika isterinya koma.

“Tidak sampai dua minit bertemu, Noor Shafikah dan isteri saling tersenyum dan berpelukan. Saya dan jururawat berlinang air mata melihat pertemuan ini.

“Pengalaman ini sememangnya sukar diharungi namun ia berakhir dengan kegembiraan,” katanya.

Ruslili turut berterima kasih kepada semua pembaca yang tidak putus-putus berdoa serta memberi semangat kepada keluarganya.

“Jasa doktor dan jururawat sememangnya tidak akan saya lupakan kerana sentiasa bertungkus-lumus menjaga isteri sepanjang koma dan menerima rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 10:33 AM