MOHD Saiful membantu Norfadilla yang baru sedar daripada  koma memangku anak mereka, Muhamad Syahmi.
MOHD Saiful membantu Norfadilla yang baru sedar daripada koma memangku anak mereka, Muhamad Syahmi.
Muhamaad Razis Ismail


SELEPAS empat bulan, Norfadilla Che Par, 28, yang koma akibat komplikasi pembedahan ketika melahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, ditemukan dengan anaknya, kelmarin.

Muhamad Syahmi Mohd Saiful yang berusia empat bulan dipertemukan dengan Norfadilla yang sedar daripada koma, baru-baru ini.

Pertemuan menyayat hati di luar wad ICU, jam 10 pagi itu turut ditemani ahli keluarga dan doktor.

Sepanjang tempoh dua jam pertemuan, Norfadilla yang tidak mampu bercakap dilihat menangis kerana gembira sebaik anak yang dilahirkan buat kali pertama di dalam pangkuannya.

Biarpun Norfadilla tidak dapat bergerak, dia dilihat berusaha mencium anak sulungnya itu sambil dibantu suaminya, Mohd Saiful Sudin, 30.

MOHD Saiful menunjukkan gambar kali pertama Norfadilla memangku anak mereka, Muhamad Syahmi.
MOHD Saiful menunjukkan gambar kali pertama Norfadilla memangku anak mereka, Muhamad Syahmi.

Mohd Saiful berkata, beberapa kali dia meminta kebenaran daripada pihak hospital untuk mengatur pertemuan itu namun ditangguhkan dengan mengambil kira keadaan isterinya.

Katanya, bagaimanapun beberapa hari lalu, dia mendapat khabar gembira apabila doktor memberi kebenaran selepas isterinya beransur pulih 80 peratus.

“Pertemuan dibuat di luar wad untuk mengelakkan bayi kami terkena jangkitan di wad. Saya dan ahli keluarga sebak sebaik melihat isteri menangis teresak-esak sebaik anak diletakkan di pangkuannya buat kali pertama.

“Dalam tempoh dua jam itu, isteri menangis tidak henti-henti kerana sebelum ini saya hanya mampu menunjukkan gambar anak kepadanya.

“Semalam (kelmarin) adalah kali pertama isteri menyentuh anak selepas 138 hari koma,” katanya di HRPZ II di sini, semalam.

Muka depan Harian Metro pada 14 Januari lalu melaporkan, seorang wanita koma apabila mengalami komplikasi ketika menjalani pembedahan melahirkan anak sulungnya pada November tahun lalu.

LAPORAN muka depan Harian Metro 14 Januari lalu.
LAPORAN muka depan Harian Metro 14 Januari lalu.

Bayi itu bagaimanapun selamat dilahirkan dengan berat 3.7 kilogram dan dalam keadaan sihat.

“Dua bulan selepas koma, doktor membuat pembedahan memasukkan tiub di leher isteri untuk pernafasan dan selepas hampir dua minggu, isteri mula memberi tindak balas.

“Apabila namanya dipanggil, dia boleh memalingkan muka dan doktor maklum bahawa isteri sudah sedar daripada koma namun memerlukan pemantauan rapi,” katanya.

Mohd Saiful berkata, dia bersyukur sejak berita mengenai penderitaan isterinya dipaparkan di Harian Metro, ramai pihak tampil menghulurkan bantuan.

Katanya, dia turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, sekali gus meringankan beban keluarga kerana dia bercuti tanpa gaji untuk menjaga isterinya.

“Terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan isteri, hanya Tuhan yang dapat membalasnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 7:00 AM