WANITA meratapi kematian anaknya di sebuah hospital di Gaza. FOTO AFP
WANITA meratapi kematian anaknya di sebuah hospital di Gaza. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Sekurang-kurangnya 24 penduduk Palestin maut dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Ia susulan tindakan Hamas melancarkan roket ke arah kawasan dikuasai Israel.

Al-Jazeera melaporkan tentera Israel terus mengebom Gaza sehingga pagi Selasa, dengan menyasarkan tapak di Khan Younis, kem pelarian al-Bureij dan kejiraan al-Zaitoun.

Sekurang-kurangnya tiga orang awam terbunuh pada Subuh, selepas pesawat Israel menyasarkan sebuah rumah di kem pelarian al-Shati.

Jurucakap pertahanan awam di Gaza, Raed al-Dahshan, memberitahu Al Jazeera antara mangsa yang maut adalah seorang wanita dan lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU).

ASAP dari serangan udara tentera Israel di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
ASAP dari serangan udara tentera Israel di Semenanjung Gaza. FOTO AFP

Dalam pada itu, kementerian kesihatan Gaza berkata, angka kematian dalam serangan Israel itu meningkat kepada 24 orang, termasuk sembilan kanak-kanak.

Sekurang-kurangnya 106 lagi cedera.

Kebanyakan daripada kanak-kanak itu adalah daripada satu keluarga besar.

Dua beradik, Ibrahim, 11 tahun dan Marwan, 7, adalah anak kepada Yousef al-Masri.

Lelaki itu tidak mempunyai anak lain.

Kedua-duanya bermain di luar rumah sebelum waktu buka puasa di Beit Hanoun, di utara Semenanjung Gaza sebelum letupan menggegarkan jalan.

Pada Isnin, seorang guru, Eman Basher merakamkan takziah atas kematian Rahaf al-Masri, budak perempuan berusia 10 tahun yang terkorban dalam serangan itu.

PASUKAN pertahanan awam Israel memeriksa runtuhan apartmen di Gaza. FOTO AFP
PASUKAN pertahanan awam Israel memeriksa runtuhan apartmen di Gaza. FOTO AFP

Terdahulu, Hamas melancarkan puluhan roket ke arah wilayah dikuasai Israel.

Hamas sebelum ini memberikan kata dua kepada Israel supaya mengundurkan tenteranya dari Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis, tapak ketiga paling suci untuk umat Islam,

Ketegangan di Baitulmaqdis disebabkan oleh tindakan Israel mengusir keluarga Palestin dari rumah mereka di kejiranan Sheikh Jarrah.

Selain itu, ia disebabkan oleh tindakan pasukan keselamatan Israel menceroboh Masjid Al-Aqsa pada malam ke-27 Ramadan.

Dalam pada itu, AFP melaporkan jurucakap tentera Israel Jonathan Conricus berkata, lebih 200 roket dilancarkan oleh kumpulan bersenjata Palestin ke arah wilayah dikuasai Israel, sejak Isnin.

Daripada jumlah itu katanya, hampir 90 peratus daripadanya ditembak oleh sistem pertahanan udara Israel.

Sekurang-kurangnya enam penduduk Israel cedera.

Israel bertindak balas dengan melancarkan 130 serangan udara menerusi jet pejuang dan helikopter penyerang yang dikatakan menyasarkan sasaran ketenteraan di Semenanjung Gaza.

Israel mendakwa serangan itu membunuh 15 komander Hamas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 4:57 PM