Reuters

Baitulmaqdis: Pesawat tempur Israel melancarkan serangan di Semenanjung Gaza, pada Sabtu.

Ia disifatkan sebagai tindak balas terhadap serangan roket sebelumnya yang dilancarkan dari wilayah dikuasai pejuang Hamas itu ke arah negara haram Israel.

Serangan itu juga berlaku beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berlepas dari Israel ke Arab Saudi.

Menurut kenyataan tentera Israel, sasaran serangan mengenai lokasi pembuatan roket di tengah Gaza yang dikendalikan pejuang Hamas.

AFP yang memetik saksi berkata tapak itu digunakan sebagai lokasi latihan.

Terdahulu, siren amaran dibunyikan di selatan Israel pada awal pagi Sabtu sebelum serangan roket dari Semenanjung Gaza.

Satu roket dipintas, manakala tiga lagi projektil jauh di kawasan terbuka, kata sumber tentera Israel.

Setakat ini, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan roket berkenaan.

KEBAKARAN susulan serangan tentera Israel di Gaza. FOTO AFP
KEBAKARAN susulan serangan tentera Israel di Gaza. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 11:38 AM