RAMADAN tahun ini cukup bermakna buat Akhmal.
RAMADAN tahun ini cukup bermakna buat Akhmal.
Najiy Jefri


RAMADAN tahun ini adalah detik paling indah buat pengacara dan pelakon, Akhmal Nazri apabila dapat menyambutnya bersama isteri tercinta, Lyssa Jean buat kali pertama.

Siapa sangka, Ramadan yang disambut memberi 1,001 makna buat pasangan ini untuk meraikannya bersama-sama.

Akhmal yang dikenali menerusi sitkom Oh! My English melangsungkan pernikahan dengan wanita pilihannya itu pada 31 Disember tahun lalu.

"Menyambut Ramadan dengan Lyssa tahun ini sangat berbeza sebab bila berbuka saya dapat rasa air tangannya dengan pelbagai juadah disediakan. Bila sahur pula, isteri dah siap masak dan tolong kejutkan.

"Namun, apa yang paling menyeronokkan selepas berkahwin ini adalah kami dapat menunaikan solat berjemaah bersama. Memandangkan Lyssa adalah mualaf yang baru memeluk Islam pada Disember 2019, jadi banyak yang perlu saya bimbing dan ajar secara perlahan-lahan.

RAMADAN pertama sebagai suami bimbing isteri saudara baharu.
RAMADAN pertama sebagai suami bimbing isteri saudara baharu.

"Saya cuba ambil waktu lapang dengan mengajarnya membaca Iqra selain memastikan bacaan solatnya disempurnakan dengan baik," katanya.

Menurut Akhmal, dia bersyukur Lyssa tidak berdepan sebarang kesukaran untuk berpuasa kerana tahun lalu dia berjaya berpuasa selama sebulan.

"Alhamdulillah setakat ini semuanya baik-baik saja. Lagipun sejak tahun lalu lagi Lyssa sudah berpuasa dan tak sangka dia berjaya mengharunginya selama sebulan.

"Tidak dinafikan, nak bimbing seorang mualaf bukan mudah, kalau diri sendiri tak betul, pasangan kita pun akan ikut sama.

AKHMAL teruja apabila dapat solat berjemaah bersama isteri.
AKHMAL teruja apabila dapat solat berjemaah bersama isteri.

"Jadi penting untuk saya pastikan isteri menerima didikan agama yang betul. Walaupun dapat banyak pahala kerana mengislamkannya, tapi kalau kita tidak bimbing ke arah kebaikan, bimbang berlaku perkara yang tidak baik pada kemudian hari.

"Jadi sebagai permulaan, saya cuba beri tunjuk ajar mengikut kemampuan saya. Bagi saya, dia perlu pelajari perkara yang asas dahulu. Kemudian, kita sama-sama belajar untuk fasa seterusnya," katanya.

Lebih menyerlah dalam lakonan walaupun minat mengacara

Siapa sangka, selepas hampir tiga tahun tidak terbabit dengan dunia lakonan, Akhmal kini kembali menyusun strategi dengan menerima tawaran daripada syarikat produksi JS Pictures Sdn Bhd.

AKHMAL kini berada di bawah pengurusan Gatherum Management.
AKHMAL kini berada di bawah pengurusan Gatherum Management.

Bakal membintangi drama bersiri berjudul Ratu Ten Pin yang bakal ditayangkan pada Ogos depan di saluran Astro, Akhmal berkata, dia seronok menimba ilmu dengan pemilik syarikat produksi milik Sheila Rusly dan Jinggo itu.

"Tiga tahun kebelakangan ini saya banyak fokus dengan kerjaya pengacaraan, tapi apabila sudah terlalu lama perasaan rindu berlakon itu tiba-tiba hadir.

"Kebetulan dapat tawaran untuk berlakon dalam Ratu Ten Pin, jadi saya

ambil peluang ini untuk mengasah kembali bakat lakonan.

"Alhamdulillah sesi penggambaran sudah pun selesai dan semuanya berjalan dengan lancar," katanya.

Akhmal berkata, dia mengakui Sheila dan Jinggo adalah guru terbaik untuk mendidik pelakon baru mengenai teknik lakonan sebenar.

"Walaupun sebelum memasuki set penggambaran, macam-macam yang saya dengar mengenai mereka, tapi hakikatnya mereka ini adalah guru yang hebat.

"Saya yang sudah beberapa tahun dalam bidang ini belajar banyak perkara. Bagi saya, siapa pelakon baru yang bekerjasama dengan JS Pictures pasti banyak ilmu berguna yang mereka timba. Saya percaya mereka juga boleh bantu untuk merancakkan perjalanan karier seni dengan mutu lakonan yang diajar di lokasi penggambaran," katanya.

Walaupun namanya dikenali sebagai pelakon, namun Akhmal mengakui kerjaya pengacara lebih menjadi pilihan utamanya.

"Pada fasa sekarang ini saya lebih memikirkan kualiti bersama keluarga. Saya lebih seronok buat kerja pengacaraan berbanding lakonan lagi sekarang.

"Tapi, kalau ada tawaran yang bersesuaian dengan watak, saya tak kisah untuk berlakon. Saya pun nak juga cuba watak yang mencabar dan berbeza-beza," katanya yang kini diuruskan syarikat pengurusan Gatherum Management.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 6:59 AM