Ridzuan Abdul Rahman


DRAMA bersiri Isteri Untuk Diiktiraf yang ditayangkan pada Ramadan dua tahun lalu berjaya mengangkat nama pelakon Redza Rosli.

Tuah sekali lagi menyebelahi pelakon bernama sebenar Ahmad Redza Rosli ini apabila drama bersiri Tak Sempurna Mencintaimu kini menemui penonton menerusi slot Akasia TV3.

Justeru, Redza, 29, menganggap dirinya bertuah kerana lazimnya drama yang ditayangkan pada waktu perdana ini akan mencatat bilangan tontonan yang tinggi.

"Alhamdulillah, drama lakonan saya dua kali ditayangkan pada bulan puasa dan dapat 'feedback' yang baik. Syukur setiap karya dan watak lakonan saya dengan gandingan berbeza iaitu Elvina Mohamad (Isteri Untuk Diiktiraf) dan Intan Najuwa (Tak Sempurna Mencintaimu) diterima masyarakat dan penonton,

" katanya yang gembira dengan apa yang dikecapi.

Redza mengakui tidak cepat berasa selesa dengan kedudukannya sekarang dan sering belajar pelbagai perkara baru dalam karier.

"Saya sering kaji watak yang nak dibawakan. Juga kena banyak bertanya dan berkongsi benda baru. Apabila kita ada benda ini, Insya-Allah setiap apa yang kita buat semuanya akan jadi ikhlas.

"Selain itu, saya juga sering menjaga disiplin, tepati masa, jaga mulut dan buat orang keliling kita senang sebagai cara untuk kekalbertahan dalam bidang lakonan,"katanya.

Redza yang kini terbabit dengan penggambaran drama Kekasih Hati Mr Bodyguard arahan Nizam Zakaria mengakui sukar mengukur popularitinya.

BERSAMA Intan Najuwa dalam satu babak Tak Sempurna Mencintaimu.
BERSAMA Intan Najuwa dalam satu babak Tak Sempurna Mencintaimu.

"Tak tahu bagaimana nak cakap kerana saya hanya bekerja. Jadi, tak tahu macam mana rasa dia. Namun, saya bersyukur kerana semua orang beri kata-kata positif, kata-kata semangat dan sokongan sepenuhnya lagi-lagi peminat saya, Redza Rosli Supporters.

"Saya juga tak terlalu cerewet pilih watak lakonan. Tapi, kalau boleh saya nak bawa watak yang tak pernah buat dan mencabar kemampuan saya," katanya yang akan memberikan yang terbaik terhadap watak yang ditawarkan.

Redza berkata, dia tidak terikat dengan sesebuah produksi dan berpengalaman berlakon dengan pelbagai syarikat produksi.

"Saya tak kisah kerja dengan mana-mana produksi. Bila mereka panggil, saya akan teliti serta ambil jalan cerita, drama dan watak yang terbaik. Sebabnya bila jalan cerita itu terbaik, drama akan sukses bila kita buat dengan ikhlas. Perasaan mudah rasa puas hati juga tiada dalam kamus hidup saya.

"Setiap hari saya letakkan diri sebagai orang baru yang ingin belajar benda baru dan belajar satu benda yang di luar kemampuan saya serta satu benda yang tak pernah saya buat," katanya.

MENGIKUTI kelas lakonan dengan Ellie Suriatie sekiranya ada kelapangan.
MENGIKUTI kelas lakonan dengan Ellie Suriatie sekiranya ada kelapangan.

Dia tidak pernah meletakkan dirinya sudah berada pada tahap yang bagus dalam karier.

"Saya akan belajar dan terus belajar lagi. Saya kerap juga mengikuti kelas seni lakon untuk memantapkan lagi lakonan. Cuma buat masa ini saya kurang berpeluang hadir kelas kerana jadual agak padat. Baru-baru ini saya pergi kelas anjuran Ellie Suriatie," katanya.

Ditanya pengalaman berlakon pada bulan Ramadan, Redza menyifatkan ia sesuatu yang mencabar.

"Penggambaran di luar dengan cuaca yang kadangkala panas sangat mencabar dan buatkan saya cepat rasa dahaga. Lebih lagi penggambaran saya sekarang babitkan kandang kambing, sawah padi dan rumah kampung. Memang sangat mencabar.

"Apapun saya anggap ini sebagai cabaran. Dalam dunia ini tak semuanya mudah. Namun jika niat betul dan cukup sahur segalanya dipermudahkan," katanya.

Memandangkan tidak dibenarkan rentas negeri, Redza tidak pulang meraikan Aidilfitri di kampung bapanya di Perak.

Dia hanya akan meraikannya di Petaling Jaya bersama ibu bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 6:00 AM