JADE Lagardere. FOTO IG jadelagardere
JADE Lagardere. FOTO IG jadelagardere
Agensi

Paris: Seorang model yang juga penulis komik terkenal, Jade Lagardere bersama dua wanita, pengawal peribadi dan seorang pegawai kini dibicarakan kerana kesalahan rasuah.

Polis dimaklumkan penemuduga lesen memandu di Argenteuil berdekatan Paris menerima wang tunai untuk memudahkan ujian memandu, lapor The Times.

Lagardere, model kelahiran Belgium itu didakwa meminta pengawal peribadinya yang juga bekas pegawai polis untuk memberi sogokan kepada pegawai bertugas.

Ia bagi membolehkan seorang wanita lain mengambil ujian memandu bagi pihaknya.

Jurulatih, pemeriksa dan pegawai kerajaan tempatan terbabit dalam kesalahan ini, kata pendakwa raya.

Lagardere bagaimanapun menafikan pembabitannya dan mendakwa tidak mengetahui tindakan yang dibuat pengawal peribadinya.

"15,000 Euro? (kira-kira RM74,000). Ia jumlah yang besar bersamaan dengan harga sebuah kereta," kata Lagardere.

Model itu kini tidak dibenarkan memiliki lesen memandu Perancis.

Pendakwa raya memohon dua pekerja awam dan pegawai bertanggungjawab memberikan lesen supaya dikenakan hukuman penjara. Hakim bagaimanapun masih belum menetapkan sebarang keputusan.

Lagardere yang juga penulis komik, Amber Blake, adalah antara selebriti terkenal di Perancis.

Dia berkahwin dengan seorang jutawan yang juga pemilik kepada Hachette, syarikat penerbitan terkemuka di negara itu.

Hachette turut memiliki beberapa syarikat penerbitan utama di United Kingdom termasuk Headline, Hodder & Stoughton dan Quercus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 6:30 AM