DR Amir Aqram Azizi bertugas di Klinik Kesihatan Karangan, Kulim, Kedah berkongsi ilmu perubatan di TikTok. NSTP/EMAIL
DR Amir Aqram Azizi bertugas di Klinik Kesihatan Karangan, Kulim, Kedah berkongsi ilmu perubatan di TikTok. NSTP/EMAIL
Sri Ayu Kartika Amri dan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Platform TikTok kian menjadi pilihan pengguna media sosial untuk berkongsi aktiviti harian mereka dengan memuat naik video di akaun masing-masing.

Pelbagai peringkat umur kini aktif di platform berkenaan. Meskipun ada yang memandang sinis dengan TikTok namun hakikatnya

banyak perkongsian yang memberi inspirasi, informasi dan boleh dijadikan iktibar.

Jadi, tidak hairanlah jika ada golongan profesional yang memilih TikTok untuk berkongsi ilmu antaranya pengamal perubatan.

Ikuti kisah lima doktor yang berkongsi pembabitan aktif mereka di platform itu.

Doktor era baharu

Keinginan berkongsi ilmu perubatan dengan masyarakat secara meluas mendorong Dr Amir Aqram Azizi, 32, aktif di platform TikTok sejak Disember lalu.

Percubaan Dr Amir tidak sia-sia apabila dapat mengumpul lebih 162,000 pengikut di platform berkenaan.

Bercerita lanjut, Dr Amir yang kini bertugas di Klinik Kesihatan Karangan, Kulim, Kedah berkata, beliau sebenarnya sudah membuka akaun TikTok sejak 2018 tetapi hanya aktif memuat naik video sejak kebelakangan ini.

"Asalnya untuk suka-suka sahaja dan hilangkan tekanan kerja selain mempromosi perkhidmatan ditawarkan di klinik kesihatan yang mungkin tidak diketahui ramai.

"Tak sangka pula, sambutannya menggalakkan dan sejak itu saya cuba belajar seterusnya meneroka kelebihan aplikasi TikTok.

"Saya dapati sebenarnya ramai doktor di luar negara memilihnya sebagai medium untuk berkongsi ilmu malah mereka jauh lebih ke hadapan sekali gus memberi inspirasi serta keyakinan kepada saya untuk memuat naik lebih banyak video," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, topik kesihatan dibincangkan secara umum dan ada kalanya berpandukan soalan diajukan pengikutnya.

Namun, ada juga fakta dikongsikannya sendiri berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sepanjang sembilan tahun berkecimpung dalam bidang perubatan.

Rutin Dr Amir adalah memuat naik satu video setiap hari dan rakaman lazimnya dilakukan di rumah atau klinik swasta selepas waktu kerja.

"Antara topik terawal dibincangkan dahulu adalah berkaitan kekeluargaan membabitkan hubungan intim suami isteri dan masalah kesuburan bagi memberi pencerahan kepada pasangan yang sukar mendapatkan zuriat.

"Selain itu, saya juga pernah kongsi ilmu dan salah faham dalam kalangan masyarakat mengenai perkara tertentu selain isu kemurungan, haid, sindrom ovari polisistik, vaksin Covid-19 dan terbaru perihal kulit," katanya.

Beliau berkata, selain pertanyaan di ruangan komen, ada juga pengikutnya bertanya soalan di ruangan mesej dan ia memberinya peluang mengingati semula ilmu dipelajari dalam bidang perubatan.

"Memandangkan ramai yang menonton, saya lakukan sedikit ulang kaji sebagai persediaan sebelum menjawab sesuatu soalan.

"Ulang kaji itu penting bagi memberi maklumat yang tepat dan saya cuba mengelak menjawab soalan secara spontan walaupun tahu jawapannya kerana bimbang apa disampaikan boleh mengelirukan pengikut jika tersilap kata memandangkan ada istilah tertentu digunakan dalam bidang perubatan," katanya.

Meskipun ada menerima kecaman, Dr Amir tidak menjadikannya sebagai halangan untuk meneruskan usahanya kerana lebih ramai yang menyokong.

"Alhamdulillah, saya seronok dapat berinteraksi dan berkongsi ilmu dengan pengikut serta berterima kasih atas sokongan diberikan.

"Niat saya hanya untuk mendidik masyarakat kerana sudah tentu saya tidak dapat mengubah tabiat atau pandangan seseorang terhadap sesuatu perkara tetapi saya cukup gembira jika ilmu dikongsikan memberi manfaat," katanya.

KUALA LUMPUR 28 MARCH 2021 DR Sandra aktif berkongsi ilmu perubatan di TikTok mengenai kebaikan pengambilan Vaksin Covid-19. NSTP/EMAIL
KUALA LUMPUR 28 MARCH 2021 DR Sandra aktif berkongsi ilmu perubatan di TikTok mengenai kebaikan pengambilan Vaksin Covid-19. NSTP/EMAIL

'Mula-mula saya malu nak menari'

"Pada awalnya memang malu kerana ada beberapa video memerlukan saya menari tetapi lama-kelamaan jadi seronok pula apabila dapat berkongsi ilmu secara santai dengan pengikut," kata pengamal perubatan Dr R Sandramathi atau lebih mesra disapa Dr Sandra.

Dr Sandra, 33, adalah antara profesional yang aktif berkongsi ilmu berkaitan perubatan dan kesihatan di TikTok.

Ibu dua anak itu berkata, perkongsian ilmu di media sosial bukan asing baginya kerana sebelum ini, beliau aktif memuat naik video berkaitan pemakanan sihat di Facebook dan Youtube.

Namun, galakan daripada kakitangan di klinik meyakinkannya untuk membuka akaun TikTok pada awal bulan lalu sekali gus meneroka platform digital itu yang semakin menjadi pilihan generasi muda kini.

"Jujurnya saya kurang pengetahuan mengenai TikTok pada mulanya dan sangkakan ia adalah platform untuk remaja dan budak yang gemar menari.

"Sebenarnya persepsi saya itu salah kerana banyak perkongsian dan pelbagai kandungan video menarik boleh ditonton di situ.

"Jadi, saya fikir tidak salah mencuba dan dengan bantuan kakitangan, saya muat naik aplikasi itu serta pelbagai video berkaitan kesihatan," katanya.

Menurutnya, perkongsiannya lebih menjurus kepada isu semasa dalam bidang kesihatan dan perubatan.

Ada kalanya Dr Sandra turut menjawab soalan pengikut di ruangan komen.

"Memandangkan pandemik Covid-19 belum reda, jadi saya ambil kesempatan untuk berkongsi maklumat berkaitan vaksin dan yang berkaitan dengannya di TikTok.

"Ada masanya saya gunakan platform itu sebagai medium menjawab kemusykilan pengikut misalnya mengenai rawatan pembedahan pintasan usus yang banyak diperkatakan sejak kebelakangan ini.

"Puas rasanya apabila dapat mendekatkan diri dengan pengikut pelbagai latar belakang dan umur terutama generasi muda yang aktif di platform itu," katanya yang kini mengusahakan Klinik Mahsuri 24jam di Langkawi, Kedah bersama suaminya, Dr S Vasanthan, 36.

Meskipun baru sebulan aktif di platform itu, Dr Sandra gembira kerana sudah mengumpul lebih 20,000 pengikut.

Namun, bukan populariti yang dimahukan doktor lulusan Universiti Udayana, Bali, Indonesia itu tetapi apa lebih penting baginya adalah ilmu disampaikan dapat disebar luas.

"Di Facebook, saya banyak berkongsi mengenai aspek pemakanan antaranya cara penyediaan makanan sihat untuk bayi dan kanak-kanak selain pengetahuan am berkaitan penyakit yang biasa dialami oleh masyarakat seperti gastrik, gout, kencing kotor, migrain, fibroid serta sindrom ovari polisistik.

"Manakala perkongsian di TikTok lebih pelbagai dan satu kepuasan apabila dapat mendidik pengikut serta memperbetulkan salah faham atau kekeliruan mereka mengenai isu kesihatan walaupun secara maya," katanya.

"Sokongan mereka (pengikut) membuatkan saya lebih bersemangat untuk memikirkan apa video dan ilmu baru boleh dikongsikan setiap hari," katanya.

Tidak kisah terima komen negatif

Sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, platform media sosial menjadi medium utama orang ramai tampil berkongsi kreativiti masing-masing.

Bagi Dr Syairah Nadia Mohamad, 35, beliau tidak melepaskan peluang yang ada dengan menjadikan platform TikTok sebagai saluran untuk menyampaikan maklumat secara kreatif.

"Saya mula aktif pada Ogos tahun lalu di TikTok (mempunyai lebih 14,000 pengikut) dan ia atas keinginan sendiri kerana memang saya sudah lama berniat untuk berkongsi dengan masyarakat mengenai masalah kulit dan kesihatan serta cara penyelesaiannya.

"Alhamdulillah, penerimaan sangat baik dan memberangsangkan serta mendapat sokongan rakan terdekat dan orang awam.

"Ini menunjukkan ramai di luar sana yang ingin tahu mengenai penjagaan kulit dan kesihatan. Perkongsian saya pula kebanyakannya berkenaan dengan kulit kerana di situlah minat saya yang sebenar.

"Saya juga akan berkongsi mengenai kesihatan secara umum dengan lebih banyak lagi.

"Topik selalunya daripada persoalan yang kerap ditanya oleh pesakit yang datang ke klinik serta soalan daripada pengikut," katanya.

Anak pertama daripada empat beradik ini juga mengakui kadangkala beliau turut menerima komen negatif, namun menerimanya secara terbuka dan sentiasa membuat penambahbaikan.

"Namun begitu, saya seronok dapat berkongsi maklumat dengan pengikut serta maklum balas yang diterima daripada mereka memberikan saya lebih semangat untuk terus berkongsi maklumat bermanfaat.

"Sebenarnya saya juga mempunyai saluran YouTube di bawah klinik tempat saya bertugas, RadiantClinique.

"Di situ, saya mengupas isu berkaitan kulit dan kecantikan dengan lebih mendalam bersama rakan setugas," kata ibu kepada tiga anak ini.

Bagaimanapun, katanya, platform media sosial tidak boleh menggantikan tempat pesakit untuk mendapatkan nasihat rawatan secara khusus.

Doktor lulusan Ijazah Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata, orang awam masih perlu berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan dan rawatan yang sesuai.

"Segala ilmu yang dikongsi adalah untuk rujukan umum dan sekiranya anda perlukan nasihat lebih terperinci, cara yang terbaik adalah mendapatkan konsultasi di klinik berdekatan," katanya.

Dr Wan Syafiq Wan Dzulpakar, 32 dan Dr Kunoor Asma Mat Hassan, 29 memilih platform TikTok sebagai medium menyampaikan ilmu sambil berhibur.
Dr Wan Syafiq Wan Dzulpakar, 32 dan Dr Kunoor Asma Mat Hassan, 29 memilih platform TikTok sebagai medium menyampaikan ilmu sambil berhibur.

Video pernah 'sendu' tak dapat perhatian

Dengan tekad untuk sama-sama menyebarkan kesedaran mengenai penjagaan gigi kepada masyarakat, Dr Wan Syafiq Wan Dzulpakar, 32, dan Dr Kunoor Asma Mat Hassan, 29, memilih platform TikTok sebagai medium menyampaikan ilmu sambil berhibur.

Walaupun pada awalnya tiada sambutan dan video yang dihasilkan 'sendu' dan kurang mendapat perhatian warganet, namun itu tidak sama sekali mematahkan semangat mereka.

Menggunakan ##mesrakanakkanak, Dr Wan Syafiq kini mempunyai kira-kira 97,000 pengikut dan 1.0 juta tanda suka manakala Dr Asma memiliki 61,800 pengikut dan mereka kini berkhidmat di Cassia Dental Care, Skudai, Johor.

Mengimbau kenangan awal membuka akaun TikTok pada Oktober tahun lalu, Dr Wan Syafiq berkata, pandangan masyarakat terhadap TikTok hanyalah hiburan semata-mata.

"Disebabkan itu, saya cuba menyebarkan ilmu pergigian sambil berhibur di TikTok dan tidak menyangka berjenaka dalam menyebarkan ilmu diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.

"Berhibur sambil belajar sangat menyeronokkan kerana ramai dalam kalangan masyarakat mempunyai perasaan takut untuk berjumpa doktor gigi.

"Sedikit sebanyak ramai anak-anak kecil sudah berani untuk berjumpa doktor gigi dan membuat rawatan," kata doktor lulusan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan ini.

Menurutnya, topik yang sering ditekankan adalah berkaitan komplikasi apabila tidak memberus gigi dengan kaedah yang betul seperti gigi berlubang, gusi bengkak dan berdarah.

"Bagi saya no online consultation dalam bidang kesihatan sebab kami diajar untuk melihat keadaan pesakit terlebih dahulu, barulah kami dapat memberi pelan rawatan yang sewajarnya.

"Saya hanya menyebarkan kesedaran mengenai penjagaan gigi dengan harapan masyarakat mengambil langkah seterusnya untuk mendapatkan rawatan di klinik," katanya.

Sementara itu, Dr Asma berkata, dia menerima dorongan daripada Dr Wan Syafiq untuk membuat video di TikTok.

"Beliau yang menjadikan saya berani keluar dari zon selesa dan membuat video di TikTok.

"Bekerjasama dalam satu pasukan sangat penting bagi memastikan video saya sampai kepada masyarakat.

"Awalnya video saya juga tidak mendapat sambutan, namun saya tidak putus asa dan terus perbaiki cara persembahan dalam menyampaikan ilmu di TikTok.

"Topik yang saya sering kongsikan pula adalah berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh ibu mengandung dan kanak-kanak," kata anak kelahiran Kuantan, Pahang ini.

Beliau yang pernah berkhidmat di Klinik Pergigian Indera Mahkota, Kuantan, Pahang pada 2017 berkata, biarpun berdepan pelbagai cabaran, dia tetap akan menyebarkan kesedaran mengenai penjagaan gigi kepada masyarakat menggunapakai semua platform yang ada.

"Sebenarnya saya hanya mencetuskan spark knowledge dalam kalangan masyarakat kerana ilmu perlu dituntut dan bukan hanya melalui video TikTok yang berdurasi kurang 60 saat.

"Malah, saya lebih berpuas hati jika mereka terus mendapatkan rawatan atau nasihat dari doktor gigi berdaftar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 4:24 PM