Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Keinginan membantu meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris mendorong Ahmad Shahrul Azhan Ibrahim iaitu guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Ghafar 2, Kota Bharu, Kelantan memilih aplikasi TikTok sebagai medium untuk berkongsi ilmu.

Menariknya, hampir setiap video dimuat naik Ahmad Shahrul, 45, membabitkan penyertaan pelajarnya yang diuji menyebut perkataan dalam bahasa Inggeris.

Menerusi video itu, jelas terpapar kemesraan Ahmad Shahrul dengan pelajarnya yang kelihatan seronok menyahut cabaran diberi.

Ahmad Shahrul berkata, dia tidak menyangka akan aktif di platform TikTok kerana lebih banyak berkongsi ilmu di Instagram (IG) sebelum ini.

Namun, katanya, tiada salahnya untuk dia memanfaatkan platform itu dalam usaha menarik minat pelajarnya mempelajari bahasa Inggeris memandangkan majoriti anak didiknya aktif di TikTok.

"Saya membuka akaun TikTok bermula akhir November lalu dengan untuk berkongsi ilmu secara santai dengan pelajar di platform yang lebih relevan kerana ada di antaranya cepat bosan menonton video berdurasi panjang seperti di YouTube.

"Memang ada perasaan malu untuk ketengahkan diri pada awalnya, tetapi kini tidak lagi selepas melihat penerimaan pelajar yang seronok serta menyambut baik percubaan saya.

"Malah, mereka memberi inspirasi dan idea kepada saya untuk terus memuat naik video dalam bentuk kreatif," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

KEMALANGAN jalan raya membabitkan lima kenderaan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP). FOTO tular.
KEMALANGAN jalan raya membabitkan lima kenderaan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP). FOTO tular.

Berhubung kandungan video dimuat naik, Ahmad Shahrul berkata, kebanyakannya membabitkan pelajar tingkatan lima dan rakaman dibuat selepas waktu persekolahan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, perkataan dipilih dalam setiap cabaran pula berdasarkan lazimnya salah disebut pelajar dan sukar kerana jarang digunakan dalam perbualan harian.

"Tabiat saya adalah mencatat perkataan disebut salah oleh pelajar dan kemudiannya menguji mereka untuk menyebutnya.

"Di akhir video, saya akan menyebut perkataan itu dengan cara sebutan sebenar dan daripada situ, mereka dapat belajar sekiranya melakukan kesilapan.

"Saya lihat mereka benar-benar seronok untuk belajar dengan cara sebegini hingga tidak malu, sebaliknya bersemangat turut serta dalam cabaran kerana tahu ramai menonton video berkenaan," katanya yang memiliki kelulusan Sarjana Pendidikan dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Exeter, United Kingdom (UK).

Biarpun akaun TikTok diwujudkan untuk pelajarnya, Ahmad Shahrul terharu kerana kandungan video dimuat naik turut disambut baik warganet yang aktif di platform itu.

AHMAD Shahrul bersama pelajarnya. FOTO ihsan pembaca
AHMAD Shahrul bersama pelajarnya. FOTO ihsan pembaca

Menurut Ahmad Shahrul, maklum balas positif itu memberinya semangat untuk menyebar luas ilmu yang ada dengan masyarakat tanpa mengira umur dan latar belakang.

"Memang terkejut sebenarnya kerana bukan hanya pelajar saya, malah ramai golongan dewasa sukakannya.

"Saya bersyukur kerana ada ibu bapa memberi maklum balas di ruangan komen memaklumkan anak mereka yang masih kecil suka menonton video di akaun saya.

"Pihak sekolah termasuk pengetua tiada halangan dengan apa saya lakukan dan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan," katanya yang kini sudah mengumpul hampir 162,000 pengikut di TikTok.

Beliau berharap perkongsian itu dapat memberi ilmu kepada mereka yang menonton dan membantu masyarakat menjadi lebih yakin serta tidak mempersenda atau mentertawakan individu cuba bertutur dalam bahasa Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 8:00 PM