Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi


HANYA tiga kes baharu Covid-19 dengan tiada pertambahan kematian direkodkan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan tiga kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia kini 8,737 kes dengan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan sebanyak 77.

"Tiga kes baharu itu membabitkan satu kes adalah kes import iaitu seorang warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Kedua-dua kes penularan dalam negara adalah dalam kalangan warga asing dan tiada kes kalangan warganegara Malaysia dilaporkan," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi kes jangkitan dalam negara membabitkan warga asing, terdapat satu kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Jalan Duta sebelum proses pemindahan ke DTI lain.

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
DR NOOR HISHAM ABDULLAH

"Ujian saringan ke atas 26 Orang Kena Tahan (OKT) yang lain juga dijalankan di mana keputusannya adalah 25 negatif manakala seorang lagi masih menunggu keputusan.

"Satu lagi kes saringan membabitkan di tempat kerja yang dijalankan oleh majikan di Sarawak," katanya.

Menurutnya, setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 12 kes pulih dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya 8,538 kes atau 97.7 peratus.

"Kini ada tiga individu dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan seorang memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 6:03 PM