ANNUAR  (kiri) ketika majlis pengenalan pemain terbaru The Red Warriors  pada Mac 2014.
ANNUAR (kiri) ketika majlis pengenalan pemain terbaru The Red Warriors pada Mac 2014.
BERNAMA

SEBAGAI orang Kelantan, Tan Sri Annuar Musa mengakui beliau sedih dengan nasib Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) yang berdepan masalah kemerosotan prestasi dan terpalit dengan isu hutang.

Menteri Wilayah Persekutuan itu yang memimpin Kafa selama lapan tahun (2008-2016), berkata, walaupun tidak bersama lagi dengan pasukan tersebut, beliau tetap membantu Kafa secara senyap.

"Sampai sekarang saya membantu, tahun ini tanpa publisiti. Tahun lalu bantu mereka lunaskan caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), dua tahun lepas pun saya bantu. Sebagai orang Kelantan, sudah pasti saya bantu pasukan negeri saya.

"Sekarang saya Menteri Wilayah Persekutuan, jadi KLFA (Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur) pun kena tengok juga. Tetapi buat masa ini, kedua-duanya saya tak masuk campur, nak tumpu pada urusan di kementerian, jaga gelandangan dahulu," katanya.

Antara kejayaan pada zaman kegemilangan skuad 'The Red Warriors' di bawah pimpinan Annuar ialah memenangi treble pada 2012 iaitu muncul sebagai juara Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.

Kafa berdepan masalah serius apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan mereka menyelesaikan tuntutan tunggakan gaji bekas pemain importnya, Cassio Francisco de Jesus, Bruno Lopes dan Alaeddine Bouslimi yang berjumlah lebih RM920,000.

Sementara itu, susulan kemelut beberapa pasukan bola sepak dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) yang masih berpalit dengan isu hutang dan tunggakan gaji, Annuar mengulangi cadangannya agar had gaji pemain ditetapkan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu berkata, penetapan had gaji merupakan antara cara untuk menjaga kemampanan sukan bola sepak negara dengan mengelak peningkatan kos secara mendadak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 6:09 PM