Hairulazim Mahmud

“ADA pihak yang tidak bertanggungjawab mendedahkan surat yang saya tulis kepada beliau (Dr Maszlee Malik),” tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, surat berkenaan adalah untuk meminta Maszlee meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan.

Beliau berkata, ada banyak sebab seperti yang dinyatakan di dalam surat berkenaan untuk Ahli Parlimen Simpang Renggam itu melepaskan jawatannya itu.

“Saya tidak katakan semua dia lakukan salah, sebaliknya ada sebahagian yang beliau buat betul, tapi ada beberapa sebab yang saya fikir beliau mesti letak jawatan dan beliau setuju jadi beliau pun meletakkan jawatan,” kata beliau.

Ditanya siapa yang bakal memangku jawatan atau menggantikan Maszlee, beliau menegaskan, “Akan ditentukan oleh saya kerana itu adalah prerogatif saya.”

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri 11 Bilangan 1 Tahun 2020 di Putrajaya, semalam.

DR MAHATHIR ketika sidang media di Bangunan Perdana Putra. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
DR MAHATHIR ketika sidang media di Bangunan Perdana Putra. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Dalam pada itu, Dr Mahathir menafikan peletakan jawatan Maszlee itu ada kaitan dengan cadangannya untuk membuka semula King Salman Centre for International Peace (KSCIP).

Beliau menegaskan, hal berkenaan tiada kaitan langsung dengan tindakan bekas Menteri Pendidikan terbabit.

Pada 2 Januari lalu, Maszlee pada sidang media khas mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan.

Beliau mendakwa sering dilihat menyusahkan pimpinan atasan membabitkan beberapa isu seperti pengajaran tulisan Jawi, pembekalan perkhidmatan Internet di sekolah dan program sarapan percuma di sekolah rendah.

Berikutan itu, tiga hari kemudian muncul laporan mendakwa langkah diambil Maszlee itu berpunca daripada kehendak Dr Mahathir.

Kenyataan itu dibuat melalui sepucuk surat bertarikh 27 Disember 2019 daripada Dr Mahathir kepada Maszlee dan dihantar ke pejabat Ahli Parlimen Simpang Renggam itu pada hari yang sama.

Menteri Pendidikan ketika itu dikatakan sedang bercuti bersama keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 6:04 AM