MASZLEE melambai tangan kepada jurugambar selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada sidang media khas yang diadakan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MASZLEE melambai tangan kepada jurugambar selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada sidang media khas yang diadakan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
HM Digital

PENGUMUMAN Dr Maszlee Malik meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa esok menarik perhatian umum malah terasa kesan susulan keputusan mengejut itu.

Warganet meluahkan kesedihan dan tidak kurang ada yang meminta Ahli Parlimen Simpang Renggam itu mempertahankan jawatan yang disandang sejak 2018 selepas Pakatan Harapan mendapat mandat membentuk kerajaan baru.

“Walaupun YB (Yang Berhormat) sempat berkhidmat 20 bulan, saya dapat rasakan impak perubahan positif. YB mengambil berat sistem pendidikan negara dan saya bangga anak saya sempat merasa sentuhan YB.

“Teruskan berbakti, saya sentiasa menunggu idea YB, tapi sayang ia terlalu singkat sangat khidmat YB,” komen Rahayu Shahperi dalam Facebook rasmi Dr Maszlee Malik.

Seorang lagi warganet, Juliana Isof pula memberi komen: “Terima kasih Dr kerana selama 20 bulan ini, kami dihargai. Kami guru-guru disayangi, ambil berat bagaikan anak. Terima kasih. Bukan mudah mengemudi KPM (Kementerian Pendidikan).

“Sebagaimana bukan mudah juga kami menjadi guru. Terima kasih Dr atas segala-galanya yang dilakukan untuk kami warga sekolah. Walaupun beban kerja mungkin tidak banyak berbeza, tapi itu tetap tugas dan tanggungjawab kami.

“Terima kasih kerana memberikan kami nafas ‘waktu cuti’, ambil peduli masalah tekanan guru. Semoga apa yang Dr usahakan menjadi kesinambungan pada masa akan datang.

Lain pula bagi Mary Rostiah apabila dia meminta Dr Maszlee bertahan kerana setiap bidang pekerjaan dibuat sukar untuk mendapatkan kepuasan orang lain.

“Kita tidak mampu memuaskan hati setiap insan bergelar manusia. Buatlah saja selagi tidak melanggar hukum tuhan. Bertahanlah seperti Tun Dr Mahathir.”

Dalam sidang media khas di Kementerian Pendidikan hari ini, Dr Maszlee mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa esok.

Menurut Maszlee, beliau berbuat demikian selepas mendapat nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka saya dengan hati yang reda walaupun berat.

“Dengan nasihat daripada ayahanda Perdana Menteri, saya Dr Maszlee memulangkan kembali jawatan saya sebagai Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari 2020,” katanya.

Berita berkaitan

'Pengganti Maszlee ditentukan sedikit masa lagi' - PM

Maszlee Malik letak jawatan [METROTV]

Dr Maszlee letak jawatan?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 6:25 PM