MASZLEE pada majlis Amanat Menteri Pendidikan Tahun 2019. FOTO Rosela Ismail
MASZLEE pada majlis Amanat Menteri Pendidikan Tahun 2019. FOTO Rosela Ismail
Ahmad Suhael Adnan dan Luqman Arif Abdul Karim


MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendedahkan impian untuk menyandang jawatan Menteri Pendidikan sejak 30 tahun lalu ialah ‘pembakar’ semangat kejayaannya sehingga kini.

Mengimbau sorotan kerjaya dan mengharungi pelbagai cabaran, Maszlee dalam nada sebak berkata, cita-cita menggalas portfolio kanan dalam kerajaan itu disemai sejak di bangku sekolah, ketika berusia 15 tahun.

Sesekali terhenti daripada meneruskan ucapan, beliau menjelaskan jawatan itu menjadi dambaan kerana ingin merealisasikan harapan untuk membina Malaysia yang lebih baik di masa hadapan.

"Guru yang meledakkan harapan dan cita-cita ketika berusia 15 tahun hanya seorang pendidik biasa di sebuah sekolah, namun fenomena sebenar ialah beliau tidak pernah lulus peperiksaan.

"Beliau hanya mula bersekolah semula pada umur 18 tahun dengan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM) serta berjaya menjadi seorang guru.

"Ustaz Sakijan Muri sering bawa pendekatan berbeza dalam melihat perkara seharian, hatta dalam menggalakkan murid untuk selalu bertanya termasuk membabitkan perihal agama.

"Ustaz adalah insan pertama yang mengajarkan KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) kepada saya, jauh sebelum istilah ini diwujudkan," katanya ketika menyampaikan amanat pendidikan, di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini.

Gagal menahan sebak, Maszlee yang meneruskan ucapan dengan linangan air mata mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan kepada Sakijan selepas pendidik berkenaan menyuntik ‘benih’ kesedaran sejak di usia muda.

Maszlee berkata gurunya ‘menjentik’ pemikiran kritikal untuk menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai proses pembinaan manusia berdaya saing dalam kehidupan tanpa tercabut sifat manusiawi.

"Terima kasih untuk segalanya ustaz," katanya sambil mendepakan kedua-dua tangan ke arah Sakijan yang berdiri di barisan hadapan tetamu undangan, diiringi tepukan gemuruh hadirin di Dewan Besar Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 1:15 PM