KHAI Bahar
KHAI Bahar
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


HANYA dalam tempoh tiga tahun pembabitan sebagai penyanyi, deretan kejayaan sudah diraih Khai Bahar termasuk Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH 32) lalu.

Tidak keterlaluan jika penyanyi bernama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin, 25, ini wajar diiktiraf antara pelapis kepada penyanyi lelaki terbaik sedia ada.

Malah, artis kelahiran Perlis ini bertuah kerana sering mendapat sokongan daripada peminat setia hinggakan setiap single yang dikeluarkan mendapat sambutan.

Tidak sekadar menghasilkan lagu berkonsep cinta, penyanyi yang popular dengan lagu Bayang ini mengambil inisiatif mencipta lagu berjudul Ratuku bermatlamat menimbulkan kesedaran orang ramai untuk membantu mereka yang menghidap sakit buah pinggang.

Menggunakan nama Kanda, penghasilan lagu bersama Dr Azrul Azlan serta Anwar Husaini dan lirik oleh Dr Azrul Azlan yang diterbit dan diedarkan syarikat rakaman 17Eleven Music ini dihasilkan khas untuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

“Ia bagi memberi kesedaran kepada orang ramai dalam membantu golongan yang memerlukan secara ikhlas. Apa yang menarik, dalam video muzik lagu ini saya betul-betul menangis.

“Ratuku adalah single terbaru saya selepas lagu duet Satukan Rasa. Sama seperti lagu lain, saya tetap akan turun padang bagi mempromosikan lagu ini.

“Bagi saya, lagu ini bukan sekadar untuk hiburan halwa telinga, tapi ia memberi peluang kepada semua peminat untuk menghayati mesej positif, sekali gus dapat menyumbang kepada golongan memerlukan,” katanya.

Dalam masa sama, Khai turut dilantik sebagai duta untuk Pusat Hemodialisis, Hospital Tuanku Fauziah di Kangar, Perlis dan dia berjanji akan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan sebaiknya.

“Kedua-dua pihak tak menetapkan tempoh masa tertentu pembabitan saya sebagai duta. Saya akan mempromosikan produk Wakaf MAIPs, tapi bukan secara langsung. Ia dibuat menerusi lagu, video muzik dan Instagram.

“Ini adalah pembabitan kedua saya dalam kerja amal selepas terbabit dengan misi Kemanusiaan Syria Care 2.0 tahun lalu,” katanya.

Khai turut berharap video muzik Ratuku yang dihasilkan 17Eleven Music berjaya menjentik hati penonton dan seterusnya mendorong mereka untuk menyumbang.

“Saya sampaikan perasaan saya dalam video muzik ini supaya masyarakat faham kandungannya. Kita dapat lihat babak antara ibu dan anaknya.

“Si emak sakit buah pinggang tetapi si anak masih kecil dan tak dapat bantu apa-apa. Tambah lagi waktu itu belum ada kemudahan pusat dialisis.

“Apabila besar, anak ini ralat kerana tak dapat bantu ibunya. Saya nak tekankan tak semestinya kita hanya bantu ahli keluarga sendiri saja. Ketika sihat, apa salahnya kita bantu orang yang memerlukan,” katanya yang menggunakan pengalaman berlakon dalam drama Satukan Rasa untuk menjiwai cerita.

Majlis pelancaran serentak lagu dan video muzik Ratuku disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs.

Baginda turut ditampilkan sebagai seorang daripada pelakon video muzik ini.

Peminat boleh menonton video muzik rasmi Ratuku di saluran YouTube Seventeen Eleven Music dan boleh didengari di semua platform digital.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 5:25 AM