LAGU Hilang Gelita dicipta khas untuk drama Kisah Cinta Rumi.
LAGU Hilang Gelita dicipta khas untuk drama Kisah Cinta Rumi.
Sudirman Mohd Tahir


Lagu genre balada bukan lagi asing bagi penyanyi popular, Khai Bahar. Dari awal kemunculan menerusi lagu Bayang, Khai berjaya mencuri perhatian peminat muzik tempatan.

Malah, hampir semua lagu yang dilancarkan melekat di hati peminat, sekali gus meletakkan Khai antara penyanyi muda yang berjaya melantunkan lagu genre balada dengan baik ditambah penghayatan yang cukup mendalam.

Lebih menarik, kebanyakan lagu Khai, 27, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin dipilih menjadi lagu tema drama bersiri tempatan.

Terbaharu, menerusi syarikat rakaman 17 Eleven Music, Khai muncul dengan single yang dicipta khas untuk drama Kisah Cinta Rumi berjudul Hilang Gelita.

Drama yang ditayangkan di Slot Lestary TV3 esok turut menampilkan Khai Bahar sebagai pelakon utama di samping barisan pelakon lain seperti Riena Diana, Sharifah Rose, Hariz Hamdan, Dynas Mokhtar, Cahaya Nilam, Noniswara, Louisa Alissa Chong dan Gen Darwish.

"Alhamdulillah, ini satu lagi buah tangan yang cukup istimewa buat peminat. Lagu ini memang dihasilkan untuk drama ini. Saya menganggap ia satu penghormatan apabila pihak syarikat penerbitan mahu saya cipta dan nyanyikan sendiri lagu tema drama ini.

"Memandangkan saya turut berlakon dalam drama ini, jadi agak mudah juga untuk mencari idea bagi menghasilkan lagu ini. Saya sudah faham serba sedikit jalan cerita drama ini, tinggal lagi saya perlu hasilkan melodi yang sesuai dan kena dengan kisah yang disampaikan.

"Proses rakaman juga berjalan lancar, walaupun dalam masa sama saya perlu terbabit dalam penggambaran. Terima kasih sekali lagi kepada pihak 17 Eleven Music atas kepercayaan diberikan," katanya.

Khai berkata, dia tidak mahu peminat keliru dengan single Perpisahan yang baharu dilancarkan pada 12 April lalu.

"Kalau ikutkan pelancaran bagi kedua lagu ini tidak jauh. Mungkin ada peminat yang akan tertanya-tanya. Tapi, ingin dikongsikan bahawa lagu Perpisahan adalah single yang dimuatkan dalam album Damba Ketenangan yang turut mengandungi lima zikir. Memandangkan kita sudah berada di bulan Ramadan, jadi saya berasakan lagu Perpisahan dan album ini kena pada masanya.

"Sementara untuk lagu Hilang Gelita pula ia dihasilkan untuk lagu tema drama. Kiranya, peminat yang menonton drama ini nanti akan dapat mendengar lagu ini. Seperkara lagi, tema lagu ini pun berbeza.

"Dalam erti kata lain, peminat ada pilihan untuk mendengar. Kalau nak mendengar kedua-duanya juga lagi bagus. Ini kerana kedua-dua lagu ini juga memiliki melodi dan lirik yang bagus. Jadi, bagi saya tidak akan timbul soal keliru.

"Lagi pula, pada zaman sekarang peminat juga lebih mudah untuk mendengar lagu. Banyak platform digital muzik sudah tersedia. Malah, kalau di YouTube mereka boleh menonton muzik video," katanya.

Berkongsi mengenai lagu itu, Khai juga bertuah apabila dapat bekerjasama dengan Rozi Razak yang menggunakan nama pena Rozisangdewi iaitu pengurus kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

"Drama ini mengisahkan bagaimana percintaan sepasang kekasih yang penuh dugaan. Jadi, melodi lagu perlu dihasilkan mengikut latar cerita ini. Malah, untuk lirik saya berasa bertuah apabila dapat bekerjasama dengan Kak Rozi. Diakui, kata-kata yang dihasilkan Kak Rozi punya nilai tersendiri. Terima kasih kerana menerima tawaran kami," katanya.

Sementara itu, Rozisangdewi berkata, kesungguhan Khai bersama pengurusnya datang berjumpa adalah penghormatan besar buat dirinya.

"Pihak pengurusan Khai iaitu Jai bertanya sendiri jika saya sudi menulis sebuah lirik lagu untuk Khai. Kesungguhan Khai dan Jai datang berjumpa sendiri adalah satu penghormatan besar buat saya. Ini kerana seorang anak muda berbakat besar yang mencipta sendiri lagu itu, sudi memilih saya menuliskan liriknya.

"Lirik Hilang Gelita saya tulis berasaskan sinopsis cerita atau drama yang diberikan. Apabila saya memberikan draf lirik yang pertama, pihak Khai terus bersetuju dan menerima baik.

"Selain itu, saya kenal rapat dengan Khai dan Jai serta saling bertukar pandangan dan mereka suka bertanya pendapat dan sebagainya. Dari situ saya faham karakter dan kemahuan Khai dan membuatkan kerjasama menjadi mudah," katanya.

Lagu dan muzik video Hilang Gelita juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music bermula 21 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 6:55 AM