Suraya Roslan


KEBIASAANNYA permainan bola jaring sinonim dengan wanita tetapi lain pula dengan apa yang dilakukan sekumpulan pensyarah lelaki Kolej Matrikulasi Perak (KMPk), Gopeng.

Aksi beberapa pensyarah lelaki bermain bola jaring menarik perhatian ramai apabila rakaman video mereka bermain tular di media sosial selepas ia dilihat seperti permainan gusti dan ragbi.

Lazimnya, peraturan bola jaring tidak boleh menggerakkan kaki ketika pemain menerima bola sebelum dihantar kepada rakan, bagaimanapun dalam video tular itu dapat dilihat pensyarah lelaki berlari sambil membawa bola.

Lebih lucu, satu daripada tiga klip video itu mengundang tawa apabila semua pemain mengerumuni tiang gol hingga terbalik.

Video itu dimuat naik seorang wanita dikenali sebagai @_Najooo_ di Twitternya yang kini ditonton lebih 300,000 orang.

@_Najooo_ turut menyatakan dalam kapsyen yang dimuat naik itu: “Bila lelaki main netball dah macam rugby weii”.

Perkongsian itu kini tular di media sosial yang meraih 31,200 ulang kicau dan 23,600 tanda suka.

Dalam klip kedua, dapat dilihat pemain bola jaring menyepak bola ke gol seperti bola sepak yang mengundang aksi lucu orang ramai.

Seorang pengguna Twitter, @JariCntikMenaip bangga dengan aksi pensyarahnya.

"Ya Allah KMPk keeeee. Hajajahagajagahahhaqha. Patut la tengok padang and astaka macam kenal. Bangganya mesti ada lecturer aku terselit dalam ni. Power la semua sukan sekali depa combine," tulisnya.

Dalam bebenang sama, @_Najooo_ turut menegaskan semua permainan itu sekadar suka-suka saja.

"Game ini for fun je guys, ade lelaki yang reti main netball," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 10:00 PM
Gambar daripada rakaman video tular yang menunjukkan aksi sekumpulan pensyarah lelaki KMPk, Gopeng bermain bola jaring. Foto Ihsan @_Najooo_
Gambar daripada rakaman video tular yang menunjukkan aksi sekumpulan pensyarah lelaki KMPk, Gopeng bermain bola jaring. Foto Ihsan @_Najooo_