BOLA jaring jalanan mempunyai cabaran tersendiri.
BOLA jaring jalanan mempunyai cabaran tersendiri.
TIDAK boleh bersentuhan sesama pemain antara cabaran bola jaring.
TIDAK boleh bersentuhan sesama pemain antara cabaran bola jaring.
KUALA Lumpur Street Netball 2016 turut disertai pasukan dari sekolah rendah.
KUALA Lumpur Street Netball 2016 turut disertai pasukan dari sekolah rendah.
PASUKAN lelaki tidak melepaskan peluang menyertai Kuala Lumpur Street Netball 2016
PASUKAN lelaki tidak melepaskan peluang menyertai Kuala Lumpur Street Netball 2016
Rosyahaida Abdullah


Sudah biasa beraksi dengan kekuatan minimum tujuh pemain dalam satu pasukan bagi mana-mana perlawanan, ia tentu membawa cabaran berbeza apabila jumlah itu terpaksa dikurangkan kepada lima pemain.

Malah, latihan dilakukan di permukaan lebih lembut seperti kawasan berumput atau tanah memudahkan pergerakan melantun, terpaksa dilupakan.

Mana tidaknya, perlawanan bola jaring jalanan diadakan di gelanggang permukaan keras seperti tar dan simen memerlukan corak permainan diubah serta-merta.

Kelainan dibawa Kuala Lumpur Street Netball 2016 di Dataran Merdeka baru-baru ini tidak mematahkan semangat peserta untuk menjaringkan seberapa banyak gol buat pasukan masing-masing.

Bagi peserta yang pernah melalui pengalaman perlawanan seumpama itu, ia bukan masalah besar apalagi keluasan gelanggang juga dikecilkan sedikit.

Namun untuk pasukan yang baru berjinak-jinak menyertainya, ia umpama pendedahan baru yang memupuk semangat berpasukan lebih tinggi dalam persekitaran permainan lebih mencabar.

Bagi Muhammad Faris Mat Lazin, 18, peraturan sedia ada sudah cukup mencabar apabila pemain tidak boleh bersentuhan sesama mereka terutama ketika menyambar bola daripada pihak lawan.

Apalagi golongan lelaki sudah terbiasa dengan sukan bola sepak yang berbeza peraturannya berbanding bola jaring, ia memberi cabaran buat pasukan mereka supaya beraksi lebih baik bagi mengatasi perempuan yang memonopoli permainan itu.

“Ini kali pertama saya sertai ‘street netball’ memang mencabar. Kami perlu ubah gaya permainan kerana kekuatan cuma lima orang ditambah pula dengan gelanggang yang lebih keras, perlulah lompat lebih tinggi ketika menjaringkan bola.

“Gelanggang dikecilkan dan kami tidak boleh bersentuhan secara langsung dengan pihak lawan, menjadikannya lebih sukar dan memenatkan,” katanya mewakili pasukan bola jaring KVK (Kolej Vokasional Klang) Hornbills.

Menyahut cabaran menyertai sukan yang kian popular di negara luar itu, Muhammad Faris berharap lebih banyak perlawanan bola jaring dianjurkan di peringkat kebangsaan khusus buat pasukan lelaki.

Jika Muhammad Faris merasai aura cabaran street netball, berlainan pula dengan Nur Ili Shazreen Rusley, 12, yang menganggap perlawanan itu tidak sesukar dibayangkan apalagi dia sudah menyertainya sejak berumur lapan tahun lagi.

Bagaimanapun, katanya, pada usia muda dia masih tercari-cari corak permainan yang setanding pasukan dewasa memerlukannya lebih kerap berlatih khususnya selepas habis waktu sekolah.

“Saya banyak belajar teknik dan kemahiran bermain bola jaring daripada kakak saya. Dulu dia memang aktif dan pasukannya juga kerap menjuarai kejohanan tetapi kini dia fokus kepada olahraga pula.

“Sepanjang menyertai sukan bola jaring, banyak juga kejuaraan di peringkat kebangsaan yang berjaya kami rangkul. Saya harap saya mampu menyumbang sesuatu yang lebih baik pada masa depan dalam sukan ini walaupun karier saya kelak mungkin dalam bidang lain,” katanya.

Anak kelima daripada enam adik beradik itu mewakili Amazing Kemuning dari Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning 2, Shah Alam.

Wakil pasukan bola jaring Kelab Kilat KL (Kuala Lumpur) TNB (Tenaga Nasional Berhad), Ungku Nur Sheryna Ungku Ibrahim, 34, pula menyifatkan pengalaman menyertai puluhan perlawanan bola jaring sejak belasan tahun lalu tidak menjanjikan kejayaan dalam perlawanan pada kali ini.

Sebaliknya, Kuala Lumpur Street Netball 2016 dianggap sebagai latihan untuk menguatkan lagi pasukan menempuh pelbagai kejohanan akan datang.

“Bola jaring kebiasaannya memperuntukkan masa lebih lama antara tujuh hingga 15 minit, berbeza berbanding jenis ‘street’ yang lebih singkat iaitu sekitar lima minit saja.

“Ini memerlukan kami bekerja lebih keras untuk menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh dalam tempoh terbabit dan tentulah stamina juga lebih banyak digunakan.

“Baik penjaring, pertahanan mahupun sayap kiri dan kanan pasukan, semua kena bekerjasama dan sepakat. Memiliki ahli yang tinggi hanyalah bonus buat pasukan terutama untuk berada di pihak pertahanan atau sebagai penjaring,” katanya.

Pengurus acara itu, Rozan Mohamed berkata, sebanyak 44 pasukan membabitkan lebih 400 pemain menyertai perlawanan itu mewakili pelbagai komuniti bola jaring dan kumpulan umur.

Jelasnya, acara itu adalah anjuran ZI Communication Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kita lega kerana perlawanan ini mendapat sokongan dan kerjasama banyak pihak seperti F&N Beverage Marketing Sdn Bhd, 100Plus dan Astro Arena malah disokong oleh Persatuan Bola Jaring Malaysia.

“Ini adalah perlawanan pertama seumpamanya diadakan di Kuala Lumpur yang menyasar usaha mempromosi program kesedaran dan pembangunan bola jaring tempatan, juga bertepatan dengan program Pagi Bebas Kenderaan di Kuala Lumpur.

“Acara ini akan diteruskan ke beberapa kawasan lain seluruh negara khususnya bahagian utara, selatan dan timur, dalam persediaan merebut pingat emas sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:03 AM