Suraya Roslan


MENERUSKAN tradisi sekolah mereka membacakan Doa Wehdah atau Doa Kesatuan selepas tamat kertas akhir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tindakan pelajar Tingkatan Lima Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang dipuji warganet yang merasakan tindakan itu wajar dicontohi pelajar lain.

Video berdurasi satu minit 20 saat menunjukkan sekumpulan pelajar KISAS membacakan doa wehdah sebaik tamat kertas peperiksaan tular hingga menjadi pujian ramai.

Warganet mula membandingkan sambutan sama di Melaka sebaik selesai menduduki SPM dengan 'berpesta' di jalan raya hingga mendatangkan pelbagai maklum balas negatif daripada banyak pihak.

Pelajar KISAS yang mengetuai bacaan doa itu, Muhd Daniel Haikal Khairul Faizi, 17, berkata, Doa Wehdah dibaca selepas keluar dewan peperiksaan sebaik kertas terakhir untuk pelajar aliran sains tulen tamat.

“Memang sudah jadi amalan dan tradisi budak KISAS (baca doa), doa dibaca pada 3.45 petang Rabu lalu.

“Nama doa berkenaan Doa Wehdah, Rabitah atau Doa Kesatuan. Doa ini supaya ukhwah dibina kekal utuh walaupun sudah tidak sekolah, sekelas dan sebilik sekali.

“Macam dalam konteks kami yang baru saja lepas habis kertas terakhir iaitu Fizik 3, Rabu lalu memang sesuai untuk pelajar baru habis peperiksaan dan akan berpisah untuk menjalani laluan hidup masing-masing," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Muhd Daniel Haikal yang juga pengawas sekolah berkenaan berkata, dia dan rakan yang lain membaca doa itu secara spontan dan merasai nikmat ukhuwah selepas dua tahun hidup susah senang bersama.

“Kami mengharapkan orang luar sana dapat menjadikan apa kami lakukan sebagai contoh.

“Saya tidak sangka video dirakam ibu bapa menjadi tular dan harap ia dijadikan teladan untuk mereka di luar sana," katanya.

Katanya, dia memohon maaf kepada guru, ustaz, ustazah dan barisan pentadbir KISAS atas segala kesilapan dilakukan mereka.

“Di kesempatan ini, andai ada kesalahan kami lakukan tidak menyenangkan hati guru, kami berharap dapat dimaafkan dan doakan kami berjaya dalam hidup dunia dan akhirat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 8:50 PM