Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Kami membuat pecutan dua kali ganda untuk mengulang kaji pelajaran sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini," kata pelajar kembar, Muhd Iman Nazri dan Muhd Amin Nazri yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambun di sini.

Pasangan kembar berusia 17 tahun itu mengakui berdebar untuk menempuh peperiksaan berkenaan esok.

Tambahan pula, Muhd Iman berkata, sangat mencabar untuk belajar dan mengulang kaji dalam tempoh pandemik Covid-19 ini kerana mereka hanya mengulang kaji menggunakan modul yang diberi guru.

"Namun begitu, apabila kami tidak faham kami akan membuat video call dengan guru dan perbincangan secara berkumpulan dengan kawan secara video atas talian," katanya ketika ditemui di kediamannya di Tambun, di sini, hari ini.

Muhd Iman berkata, dia dan adiknya mengulangi bersama-sama dan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga jam lebih untuk mengulangi secara fokus dalam tempoh terdekat peperiksaan ini.

"Bagi kami berdua, paling sukar adalah mata pelajaran sejarah, ketika belajar di rumah ibu bapa banyak meluangkan masa dan sentiasa memberi kata semangat kerana mengetahui sukar untuk kami belajar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Muhd Iman (kanan) dan adiknya Muhd Amin sedang mengulangkaji pelajaran sebagai persiapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di rumah mereka di Tambun. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Muhd Iman (kanan) dan adiknya Muhd Amin sedang mengulangkaji pelajaran sebagai persiapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di rumah mereka di Tambun. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

"Kami tidak meletakkan sasaran A yang begitu tinggi tetapi kami akan buat yang terbaik agar lulus semua mata pelajaran," katanya pasangan kembar dari tiga beradik itu sambil memaklumkan mengambil peperiksaan untuk enam subjek teras sahaja.

Seorang lagi pelajar Kolej Vokasional Kuala Kangsar, Nur Aisya Hanim Mohd Hafizul, 17, pula berkata, dia berasa agak lega apabila dapat pulang ke asrama dalam tempoh terdekat sebelum peperiksaan SPM.

"Memang sebelum ini saya dapat dapat belajar secara video atas talian menggunakan aplikasi Google Meet tetapi kadang-kadang ilmu yang dipelajari itu mungkin tidak dapat diserap sepenuhnya ke dalam minda.

"Syukur debaran itu jadi kurang sedikit apabila kami semua kembali semula ke asrama dalam tempoh sekurang-kurangnya sebulan sebelum peperiksaan dan dapat berdepan dengan guru untuk bertanya soalan dan kerap menghadiri kelas tambahan selepas waktu kelas," katanya ketika dihubungi.

Anak kelima dari enam beradik dan pelajar jurusan seni kulinari itu berkata, apabila ada kesempatan dia bersama rakan akan mengadakan ulang kaji belajar secara berkumpulan.

"Setakat ini, saya sudah bersiap sedia dan hanya membuat ulang kaji tambahan sedikit sebelum berdepan dengan peperiksaan esok," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 6:45 PM