Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Matematik dapat A saja, peliklah matematik tak boleh nak (dapat) A+ padahal Kak Chik (nama timangan) kan suka matematik," luah Yusra Humaira Roslan.

Yusra Humaira, 18, berkata demikian dalam satu video yang mendapat perhatian di TikTok apabila dia berkongsi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kubur arwah bapanya yang meruntun hati netizen.

Bekas pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas), Klang di Selangor itu memperoleh keputusan 5A+, 3A, 1A-, 1B+ dan 1B yang diumumkan semalam.

Berdasarkan video yang meraih lebih 500,000 tontonan dan lebih 3,000 komen itu, Yusra Humaira dilihat memberitahu agregat setiap subjek SPM diperolehnya dengan nada sayu di kubur bapanya.

Difahamkan, bapa remaja itu meninggal dunia sebulan sebelum keputusan SPM diumumkan.

"Bahasa Melayu dapat A+, Bahasa Inggeris A+, Sejarah juga A+ (tetapi) Matematik dapat A saja pelik lah tak boleh nak dapat A+ (sebab) Kak Chik kan suka Matematik. Bahasa Arab dapat A+, Matematik Tambahan dapat B saja.

"Lepas tu (Selepas itu) Fizik dapat A-, Kimia tak dapat A dapat B+, Bilogi dapat A, al-Quran sunah (Pendidikan al-Quran dan Al-Sunnah) dapat A (dan) syariah (Pendidikan Syariah Islamiah) dapat A+. Tapi tak dapat naik pentas (ambil keputusan kerana ramai pelajar mendapat keputusan penuh A)," kata Yusra Humaira dalam video itu.

RAKAMAN video dimuat naik Yusra Humaira yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN video dimuat naik Yusra Humaira yang tular di media sosial. FOTO tular

Yusra Humaira dalam Kapsyen di video itu menulis dia terbayang menyerahkan slip keputusan SPM kepada bapanya dan memberitahu dia juga sudah berusaha sejak bersekolah di Kisas walaupun tidak mampu mendapat semua A dalam 11 subjek diambilnya.

Bagaimanapun katanya, dia percaya arwah bapanya tetap akan berbangga dengan kejayaannya yang meraih 9A, malah mengakui dalam hidupnya dia tidak pernah memperoleh keputusan 5A+, 3 A dan 1A-.

"Alhamdulillah ini berkat doa arwah ayah dan umi. Kak Chik rindu ayah. Semoga ayah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Ayah sentiasa ada dalam doa Kak Chik.

"Ayah nak bagi hadiah untuk keputusan SPM (untuk) setiap subjek yang dapat A. Ketika SPM setiap hari ayah tanya khabar (dan) tanya peperiksaan ok tak," tulisnya dalam video berkenaan.

Dalam video berkenaan, Yusra Humaira turut berkongsi dua klip video arwah bapanya yang memanggilnya dengan panggilan 'Kak Chik' dan turut memberinya semangat menghadapi SPM lalu.

"A itu ada rahsia yang menunggu. Ada yang menanti. Kejar A kejar A (gambaran untuk memberi hadiah bagi setiap A yang diperoleh Yusra Humaira)," katanya.

Seorang pengguna TikTok @Ezzy berkata, "Adik, kamu akan pergi jauh dalam hidup dan saya berdoa agar Allah SWT melimpahkan segala rahmat-Nya. Bangga dengan kamu."

Iffah berkata, dia berharap remaja itu tidak bersedih dan dia juga percaya arwah bapanya bangga dengan keputusan Yusra Humaira.

Sementara itu, @tikaresad607 berkata, "Semoga Kak Chik kuat.. Semoga Kak Chik berjaya di dunia dan akhirat."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 6:19 PM