AMYLEA
AMYLEA
Ramlah Zainal


SUKAR untuk menidakkan kehebatan kolaborasi penyanyi dan penulis lirik terkenal, Amylea Azizan serta komposer berbakat, Farouk Roman di persada muzik tanah air ketika ini.

Ia terbukti apabila tiga lagu ciptaan mereka layak berentap ke Pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 34 (SFMM34) bermula 15 November ini.

Tiga lagu itu ialah Tiada Dirimu dendangan Shila Amzah, Bimbang (Marsha Milan) dan Tetap Kamu (Amylea X Megat).

Satu lagi lagu iaitu Pudar dendangan Indah Ruhaila pula ciptaan Amylea sepenuhnya.

Ketika ditemui, Amylea yang juga bekas peserta Akademi Fantasia menzahirkan rasa syukur kerana empat lagunya termasuk kolaborasi bersama Farouk layak bertanding di SFMM34.

“Alhamdulillah, empat daripada enam lagu ciptaan saya dan Farouk layak ke pentas separuh akhir Muzik Muzik 34. Saya menaruh harapan empat lagu terbabit mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu nanti.

“Saya juga berharap barisan juri dapat mempertimbangkan empat lagu terbabit kerana setiap lagu berbeza, berkualiti dan memiliki kekuatan tersediri,” katanya.

Amylea ditemui pada sidang media SFMM34 di Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditanya gandingan duet barunya bersama Megat pula, Amylea berkata, dia percaya dengan bakat yang dimiliki penyanyi yang juga protege Aizat Amdan dalam program Mentor 7 itu.

“Saya percaya sudah rezeki Megat untuk berganding dengan saya menerusi lagu Tetap Kamu sekali gus beraksi di pentas SFMM34 nanti.

“Pasti ada yang membandingkan cara penyampaian Megat dan rakan duet saya sebelum ini, Kaer Azami. Namun, saya percaya Megat juga mempunyai kelebihan vokal tersendiri,” katanya.

Terdahulu, kolaborasi Amylea dan Kaer menerusi lagu Tak Pernah Hilang juga ciptaan Farouk Roman melakar kejayaan apabila mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-32.

Serasi kolaborasi dengan Farouk

Mengulas kerjasama dengan Farouk pula, Amylea mengakui mereka serasi kerana komposer itu sangat teliti dan menjaga kualiti lagu yang dihasilkan.

AMYLEA bersama Megat (kiri) dan Farouk.
AMYLEA bersama Megat (kiri) dan Farouk.

Menurutnya, dia dan Farouk menganggap setiap lagu dihasilkan umpama anak mereka sendiri.

“Kalau kita sudah beri anak kepada orang, kita tidak boleh mengambilnya semula. Begitu juga jika kami sudah beri lagu kepada seseorang penyanyi itu, kami harap dia menjaga lagu itu dengan betul.

“Kami bukan komposer dan penulis lirik yang lepas tangan selepas menghasilkan lagu. Banyak kali kami berbalah untuk menghasilkan lagu berkualiti dan terbaik,” katanya.

Ditanya kriteria penyanyi pula, kata Amylea, mereka menitikberatkan pemilihan penyanyi dan cara penyampaiannya.

“Apabila Farouk sudah mencipta lagu dan dia beri saya melodi kami akan ke studio rakaman untuk saya menyanyikan demo lagu itu terlebih dahulu.

“Selepas itu, baru kami berdua akan putuskan cara penyampaian lagu itu. Kami tidak akan bertolak ansur dengan penyanyi terbabit dalam soal penyampaian lagu yang diberi,” katanya.

Bukan saja pemilihan penyanyi, kata Amylea, ia juga membabitkan aspek promosi lagu di radio dan cara pemasaran serta sebagainya.

“Kami juga mengelak untuk bekerjasama dengan penyanyi bermasalah dan setakat ini tiada penyanyi popular serta baharu yang menimbulkan masalah,” katanya.

Sebanyak 30 lagu akan bersaing di pentas SFMM34 selama tiga minggu bermula 15, 22 dan 29 November nanti.

Dihoskan gandingan Sherry Al-Hadad dan Haziq Hussni, jangan lupa saksikan siaran langsung SFMM34 pada setiap Jumaat, jam 9 malam di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam atau melalui www.tonton.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 5:00 AM