FOTO hiasan
FOTO hiasan
Recqueal Raimi


TINDAKAN kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun mencucuk mata seorang pemandu ‘kereta sapu’ menggunakan batang aiskrim berjaya menyelamatkan dirinya daripada dirogol di Tembok Panuwasa, Kudat, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi, mangsa dikatakan menumpang kereta Perodua Viva berwarna hitam dipandu lelaki terbabit dari Pasar Sayur Kudat untuk pulang ke rumahnya.

Bagaimanapun, mangsa yang menaiki kereta itu seorang diri dibawa ke Tembok Panuwasa.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, sebaik tiba di lokasi, suspek tiba-tiba memberhentikan kereta dan terus memegang tangan mangsa.

“Suspek mengarahkan mangsa untuk melakukan hubungan seks, namun kanak-kanak perempuan itu enggan dan mengugut akan melaporkan perkara itu kepada pihak polis.

“Suspek kemudiannya menutup mulut mangsa menyebabkan kanak-kanak itu meronta untuk melepaskan diri.

“Mangsa akhirnya berjaya menyelamatkan diri selepas mencucuk mata suspek menggunakan batang aiskrim,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Firdaus berkata, sebaik berjaya melarikan diri, mangsa terus meminta pertolongan daripada orang ramai sebelum dihantar semula kepada neneknya di Pasar Sayur Kudat.

Katanya, mangsa ditemani ahli keluarga kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kudat.

“Pemeriksaan awal mendapati, terdapat kesan calar pada mata kanan mangsa selain mengadu sakit di bahagian muka.

“Hasil keterangan mangsa, suspek adalah seorang lelaki berusia dengan keadaan muka cengkung, rambut pendek, beruban dan berjanggut,” katanya.

Menurut Mohd Firdaus, ketika kejadian mangsa mendakwa suspek berseluar pendek berwarna coklat tetapi tidak mengingati warna baju dipakai.

Katanya, polis sudah melancarkan operasi memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 11:31 AM