Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat, hari ini, berjaya mengusir bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, bot nelayan Vietnam itu dikesan di kedudukan 19 batu nautika timur Pulau Tigabu, Kudat, dipercayai menceroboh untuk mencuri hasil laut negara.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot nelayan berwarna kuning ditu berjaya dikesan Bot Ronda Maritim yang sedang melaksanakan Op Kuda Laut di sekitar perairan Kudat.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot nelayan berkenaan cuba melarikan diri ke arah perairan sempadan Malaysia-Filipina.

"Bot berkenaan memecut menuju sempadan perairan Malaysia-Filipina apabila diarahkan berhenti oleh pasukan APMM.

"Bot Ronda Maritim terus mengiringi dan mengusir bot nelayan Vietnam itu hingga keluar dari sempadan negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, ini adalah insiden pengusiran kedua yang berjaya dilakukan pihaknya sepanjang bulan ini.

Katanya, mengikut rekod sebanyak enam bot nelayan asing Vietnam sudah diusir dari perairan Sabah setakat ini.

"Pengusiran pertama ke atas bot pada Mei lalu di perairan Sandakan, dua bot pada September di perairan Kota Kinabalu dan Kudat.

"Manakala pada Oktober satu bot diusir di perairan Kudat dan dua lagi direkodkan pada November ini juga di perairan Kudat," katanya.

Mohd Rosli berkata, pihaknya akan terus komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab walaupun cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu pada hujung tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 5:39 PM