MANGSA terjun ke laut untuk menyelamatkan anak saudaranya. FOTO ihsan Bomba
MANGSA terjun ke laut untuk menyelamatkan anak saudaranya. FOTO ihsan Bomba
Fardy Bungga


KEGEMBIRAAN sekeluarga berkelah pada cuti hujung minggu berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas di Pantai Kelambu, Kudat, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, Abdul Salih Hamza Umur, 47, dikatakan terjun ke laut untuk menyelamatkan anak saudaranya yang hampir lemas ketika mandi di pantai berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan terus hanyut selepas ditarik arus deras di pantai berkenaan manakala anak saudaranya terselamat.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.29 petang.

Katanya, tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 36 kilometer dari Balai Bomba Kudat.

“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati anak saudaranya terselamat manakala mangsa pula dijumpai kira-kira 400 meter dari lokasi dia dihanyutkan arus.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kudat namun meninggal dunia sejurus selepas mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khatizah berkatan, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, mayat mangsa sudah dituntut ahli keluarganya dan dibawa pulang ke Kota Marudu untuk upacara pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 1:52 PM